Pages

Wednesday, August 8, 2012

Bekas PM Syria kecam Assad



Imej daripada AFP TV merakamkan orang ramai membawa keluar mayat seorang kanak-kanak daripada runtuhan bangunan setelah rumah keluarganya runtuh akibat dibedil tentera kerajaan semasa bertempur dengan pemberontak di daerah Bustan al-Qasr di utara Aleppo, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 7 Ogos - Kabinet baru Syria mengadakan mesyuarat tergempar semalam selepas Perdana Menteri, Riad Hijab berpaling tadah dan mengecam Damsyik sebagai 'rejim pengganas'.
White House pula menganggap pengkhianatan itu menunjukkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad sedang 'runtuh dari dalam'.
Tetapi, Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi berkata, hanya Hijab yang tidak menghadiri sidang tergempar itu dan menolak laporan yang menyatakan terdapat menteri lain yang berpaling tadah.
Pengganti Hijab, Omar Ghalawanji yang mengetuai mesyuarat tersebut turut menegaskan semua menteri menghadiri sidang tergempar itu.
Wakil BBC, Jim Muir yang berada di negara jiran Lebanon berkata, media kerajaan turut membuat laporan yang menggambarkan keadaan Damsyik seperti biasa.
Aktivis pembangkang sebelum ini menyatakan, ekoran tindakan Hijab itu, dua lagi menteri akan berpaling tadah, tetapi menteri ketiga yang berbuat demikian iaitu Menteri Kewangan Mohammad Jalilati telah ditahan ketika cuba melarikan diri.
Zoubi, bagaimanapun cuba meredakan kesan daripada pengkhianatan Hijab itu dan menafikan terdapat menteri lain yang berpaling tadah.
"Kami tidak ada dengar apa-apa berita daripada bekas Perdana Menteri (Hijab) dan beliau tidak pernah muncul di kaca televisyen," katanya yang dipetik oleh agensi televisyen kerajaan, Sana.
Menteri Kewangan Syria yang dikatakan telah membuat temu bual melalui telefon turut menegaskan beliau masih memegang jawatan itu dan sedang bekerja di pejabatnya.
Menteri Pembiayaan Agama, Mohammad Abdul-Sattar al-Sayyed turut menafikan beliau telah berpaling tadah, lapor Sana. - AGENSI

No comments: