Pages

Wednesday, July 4, 2012

Beribu-ribu pemberontak didera

Hubungan Syria dan Turki tegang ekoran tindakan Syria menembak jatuh pesawat pejuang Turki di perairan Mediterranean pada Jumaat lalu. Tentera Turki menjalankan rondaan di bandar sempadan Turki-Syria, Reyhanli di wilayah Hatay, selatan Turki, kelmarin. - REUTERS
NEW YORK 3 Julai - Syria didakwa menahan beribu-ribu pemberontak di dalam 'sebuah pulau penyeksaan' di mana mereka menjadi mangsa dipukul, renjatan elektrik dan pelbagai lagi penganiayaan, dedah kumpulan hak asasi manusia, yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Kumpulan itu, Human Rights Watch merekodkan terdapat 27 pusat tahanan di seluruh Syria dan ia menjadi tempat tahanan bagi penduduk Syria yang terlibat dalam pemberontakan menentang kerajaan sejak 16 bulan lalu.
Menurut kumpulan itu, mereka telah menjalankan lebih 200 temubual dengan bekas tahanan, tentera dan agen risikan yang berpaling tadah dan 'hampir kesemua' mendedahkan bahawa mereka mengalami sendiri atau menyaksikan penderaan termasuk dipukul secara berpanjangan dengan objek termasuk cota dan wayar.
Kaedah lain termasuk 'memegang tahanan dalam kedudukan tekanan yang menyakitkan untuk tempoh yang lama'; penggunaan elektrik; dibakar dengan asid bateri kereta; serangan seksual dan penghinaan; mencabut kuku serta hukuman olok-olok.
Human Rights Watch berkata, tahanan itu juga menjelaskan bahawa mereka ditahan di pusat tahanan yang penuh sesak dan kekurangan makanan serta dinafikan untuk mendapat bantuan perubatan serta pernah menyaksikan tahanan mati akibat didera.
Kata kumpulan itu, sebagai tambahan kepada 27 kemudahan tahanan sedia ada yang dikendalikan empat agensi risikan utama, ''mukhabarat'', tahanan-tahanan juga ditempatkan di stadium, kem tentera, sekolah dan hospital.
Seorang tahanan berumur 31 tahun dari Idlib mendedahkan bahawa para penyiasat telah menekan jarinya menggunakan playar dan mengetap stapler pada jari, dada dan telinganya.
''Saya hanya dibenarkan keluar sekiranya saya bercakap. Paku yang diletakkan di telinga saya merupakan seksaan yang paling menyakitkan.
''Mereka menggunakan dua wayar dari bateri kereta untuk memberi saya kejutan elektrik termasuk dikenakan pada alat kemaluan saya.
''Saya fikir, saya tidak akan melihat keluarga saya lagi. Mereka menyeksa saya seperti itu tiga kali selama tiga hari,'' dakwanya. - AFP

No comments: