Pages

Wednesday, July 4, 2012

AS tingkat kekuatan tentera di Teluk

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengerahkan pasukan baru tentera ke Teluk bagi memastikan laluan air strategik rantau itu kekal terbuka dan membolehkannya menyerang jauh ke wilayah Iran sekiranya perang meletus.
Akhbar New York Times memetik pegawai kanan sebagai berkata, langkah senyap itu bertujuan meyakinkan Israel bahawa Washington serius dalam menangani program nuklear Iran dan memastikan Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak negara Teluk, tidak ditutup.

“Mesej kepada Iran ialah, ‘Jangan langsung memikir untuk menutupnya. Kami akan memusnahkan periuk api anda. Jangan langsung berfikir untuk mengerah bot laju anda atau mengganggu kapal kami atau kapal komersial,’” kata seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan seperti yang dipetik akhbar berkenaan.
Tentera Laut Amerika Syarikat menggandakan jumlah kapal pemusnah periuk api di rantau itu. Pesawat penggempur stealth F-22 dan pesawat lama F-15C juga ditempatkan di pangkalan tentera Amerika di rantau berkenaan bagi mengukuhkan pasukan yang sedia ada, lapor akhbar itu. - AFP

No comments: