Pages

Wednesday, June 27, 2012

Mohammed Mursi mula tugas


Mohammed Mursi (dua dari kiri), tiba di pejabatnya di Istana Presiden di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH 26 Jun - Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi semalam mula memilih calon untuk membentuk kerajaan ketika penyokongnya mengadakan demonstrasi bagi mendesak majlis pemerintah tentera menyerahkan kuasa penuh kepada pergerakan Islam.
Jurucakap kempen pilihan raya Presidennya, Nermine Mohammed Hassan berkata, beliau memasuki Istana Presiden dan memulakan perbincangan untuk melantik Kabinet barunya, beberapa hari sebelum majlis pemerintah tentera dijadual menyerahkan kuasa.
"Beliau kini sedang meneliti senarai nama calon anggota Kabinet. Keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi,'' katanya.
Liputan televisyen rasmi menunjukkan imej pemimpin berjambang berumur 60 tahun itu duduk di sebuah kerusi di Istana Presiden selain gambar beliau duduk bersama Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi ketika melawat ibu pejabat majlis pemerintah tentera tersebut.
Media rasmi melaporkan, Kabinet yang dilantik majlis pemerintah tentera mengumumkan peletakan jawatan mereka semalam.
Seorang pegawai majlis pemerintah tentera memberitahu AFP, peralihan kuasa tetap dijadual diadakan pada 30 Jun ini.
Seorang anggota kanan Ikhwan Muslimin, Sobhi Saleh berkata, Mursi akan mengangkat sumpah di Mahkamah Perlembagaan berbanding Parlimen yang dibubarkan pada awal bulan ini.
Di Dataran Tahrir, anggota Ikhwan mengadakan demonstrasi duduk selama sehari dalam mendesak majlis pemerintah tentera melepaskan pentadbiran. - AFP

No comments: