Pages

Monday, June 18, 2012

Indonesia naik usia sah nikah kahwin

JAKARTA: Pihak berkuasa perancangan keluarga Indonesia bercadang menaikkan umur sah perkahwinan daripada 16 kepada 21 tahun dalam usaha untuk mengurangkan kadar kematian yang tinggi ketika kelahiran bayi.
Timbalan Penasihat Lembaga Penyelarasan Perancangan Keluarga Kebangsaan (BKKBN), Hardiyanto, berkata pejabatnya bercadang untuk membawa perkara itu kepada Dewan Perwakilan kerana usia 16 tahun disifatkan masih muda untuk berkahwin dan memulakan sebuah keluarga.
Mereka yang berkahwin dalam usia remaja disifatkan masih belum matang dari segi fizikal dan perangai. - Hardiyanto, Timbalan Penasihat BKKBN
Beliau berkata, purata usia rakyat Indonesia mula berkahwin meningkat sejak dua tahun lalu daripada 18 tahun hingga 19.6 tahun. Lembaga itu berharap untuk melihat purata usia perkahwinan meningkat kepada 21 tahun dalam masa dua tahun lagi.

Hardiyanto berkata, mereka yang berkahwin dalam usia remaja disifatkan masih belum matang dari segi fizikal dan perangai, selain kurang mendapat pendidikan formal. Mereka yang berkahwin pada usia lebih cenderung untuk bercerai.

Beliau juga berkata, kebanyakan gadis meletakkan diri dalam risiko apabila berkahwin pada usia muda dan hamil disebabkan tubuh mereka biasanya belum bersedia untuk kehamilan dan kelahiran.

“Menangguhkan usia perkahwinan akan membantu mengekalkan organ reproduktif sihat yang akan dapat memastikan si ibu lebih sihat dan mampu melahirkan bayi yang sihat,” kata Hardiyanto. 
Beliau menambah bahawa rasional berkahwin awal adalah pasangan biasanya akan mempunyai banyak masa melahirkan lebih ramai anak. Tetapi ia juga memberikan risiko kesihatan kepada ibu malah boleh membawa kepada kematian.

“Lebih kerap seseorang wanita itu melahirkan anak, lebih tinggi risiko dihadapi beliau untuk mati ketika melahirkan anak,” katanya.

Kadar kematian akibat kelahiran di Indonesia adalah 228 bagi setiap 100,000 kelahiran, tahap tertinggi di Asia Tenggara.

BKKBN juga berharap dengan meningkatnya usia perkahwinan akan dapat membantu menghalang kadar kelahiran di negara itu. Kadar kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk adalah 17.4 yang menyaksikan jumlah populasi meningkat sehingga empat juta setiap tahun.

Kadar kesuburan pada masa ini adalah 2.7 bagi setiap wanita di mana BKKBN berharap menurunkannya kepada 2.1 menjelang 2014. – Agensi

No comments: