Pages

Monday, June 18, 2012

15 maut dalam keganasan di Syria


RATUSAN orang berhimpun bagi menghadiri pengebumian seorang penduduk yang terbunuh di Al-Tal, pinggir Damsyik kelmarin.


BEIRUT - Seramai 15 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di Syria semalam apabila pihak tentera membedil beberapa daerah di bandar Homs, kata sebuah kumpulan pemantau.
Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria, seorang penduduk terbunuh di kubu pemberontak di Khalidiyeh akibat serangan tentera rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Serangan itu dilakukan bagi menawan semula beberapa buah daerah yang dikuasai pemberontak.
Seorang pemberontak maut dalam pertempuran dengan tentera rejim di Karm Shamsham, sempadan Homs.
Sementara itu, seorang aktivis di bandar lama, Abu Bilal menceritakan tentang kepungan tentera Syria di beberapa bahagian di bandar ini.
"Tentera rejim membedil kami pada setiap masa. Kami memiliki sedikit bekalan makanan dan air malah kami kehabisan ubat," jelas Abu.
Rakaman video yang dimuat naik oleh kumpulan aktivis di laman web perkongsian video YouTube menunjukkan asap hitam dan kelabu menjulang di beberapa bangunan dengan bunyi bedilan serta tembakan senjata kedengaran.
Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera rejim Bashar bermula sejak Mac tahun lalu.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan atas dakwaan melakukan salah guna kuasa semasa memerintah.
Lebih 14,000 orang dilaporkan terkorban sejak pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku pada Mac tahun lalu. - AFP

No comments: