Pages

Friday, June 22, 2012

Henti bekal senjata: LA

DAMSYIK: Liga Arab (LA) semalam menuntut Russia berhenti membekalkan senjata kepada Syria ketika rejim Bashar al-Assad terus menyerang Homs dan kawasan sekitarnya.
Ketegangan itu juga menghalang usaha Palang Merah Antarabangsa bertugas menyelamatkan orang awam yang terperangkap di situ.

Timbalan Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Ben Hilli, bercakap dalam temu bual dengan agensi berita Interfax.
Ahmed juga menggesa mandat utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan, dirombak, selain memasukkan Iran dalam rundingan damai dengan Syria.

“Sebarang bantuan kepada keganasan mesti dihentikan kerana apabila anda menyediakan peralatan ketenteraan, anda membantu membunuh orang,” katanya.

Bagi memastikan pelan Annan berkesan, kata Ahmed, Liga Arab mesti mencari mekanisme baru, manakala mandat diplomat itu dikaji semula bagi memastikan semua pihak mematuhinya. Dalam temu bual itu juga Ahmed menyokong cadangan membabitkan Iran dalam rundingan antara Damsyik dan Kumpulan Hubungan Syria dijadual di Geneva 30 Jun ini.
Walaupun pembabitan Teheran masih dibincangkan, Ahmed berkata, semua pihak utama yang terbabit dalam konflik Syria mesti menyertai kumpulan rundingan berkenaan.

“Tugas utama ketika ini ialah mempersetujui agenda mesyuarat pertama, sebelum ketetapan diputuskan mengenai siapa yang akan mengambil bahagian dalam pertemuan berkenaan,” katanya.
Russia tegas membantah gesaan Barat bagi membantu menyingkirkan Bashar daripada kekuasaan sejak awal lagi. - AFP

No comments: