Pages

Saturday, June 9, 2012

Bom di madrasah ragut tujuh lagi nyawa

Kosmo! Online - Dunia:


SEORANG lelaki mengangkat mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan bom di sebuah madrasah di Quetta, Pakistan kelmarin.


QUETTA, Pakistan - Jumlah kematian akibat satu serangan bom di sebuah madrasah di sini meningkat kepada 15 orang semalam selepas tujuh lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital.
Mereka yang meninggal dunia ialah lima orang pelajar. Mangsa cedera apabila sebutir bom meletup ketika orang ramai berkumpul bagi menghadiri satu majlis tamat sekolah. Sepuluh lagi yang maut ialah guru, kakitangan madrasah dan saudara-mara pelajar.
"Tujuh lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital dalam tempoh semalaman. Seramai 30 orang termasuk pelajar cedera dalam letupan tersebut," jelas seorang pegawai polis, Abdur Rahim Khokhar.
Menurut polis, enam kilogram bahan letupan diletakkan pada sebuah basikal yang diparkir di luar kawasan madrasah dan ditutup oleh kalungan bunga. Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Quetta ialah ibu negeri wilayah Baluchistan yang juga merupakan sempadan di antara Afghanistan dan Iran.
Pemberontak Baluchistan mula bangkit pada tahun 2004. Mereka menuntut autonomi politik dan peratusan lebih besar daripada keuntungan penjualan minyak, gas serta sumber mineral di rantau itu. - AFP

No comments: