Pages

Wednesday, May 30, 2012

Sindiket China curi duit penumpang dalam pesawat

SINGAPURA: Polis memberi amaran terdapat anggota sindiket jenayah China dipercayai mencuri duit daripada beg penumpang yang tertidur ketika menaiki pesawat untuk masuk atau meninggalkan negara itu.
Ketua Divisyen Polis Lapangan Terbang, Penolong Pesuruhjaya Sam Tee berkata, lapan belas laporan mengenai kecurian dalam pesawat telah difailkan tahun ini, iaitu peningkatan dari hanya satu kes pada 2011. 
“Siasatan mendedahkan ada antara pencuri itu dipercayai anggota sindiket dari China yang beroperasi dalam kumpulan antara tiga atau empat orang untuk satu penerbangan,” katanya.

“Mereka akan mencuri ketika operasi menaiki pesawat atau ketika penumpang tertidur atau pergi ke tandas.

“Matlamat mereka adalah mencuri wang tunai yang disimpan oleh penumpang di dalam beg mereka atau beg komputer riba yang disimpan di tempat letak barang di bahagian atas,” katanya.

Katanya, pencuri terbabit menjalankan operasi mereka dalam beberapa pesawat penerbangan serantau.

Minggu lalu, seorang rakyat China, Fu Xinping, dipenjara empat minggu kerana mencuri S$800 (RM1,973) dan HK$3,000 (RM1,217) daripada beg seorang penumpang China ketika menaiki pesawat Penerbangan Singapura ke Hong Kong, April lalu.

Syarikat Penerbangan Singapura enggan mendedahkan jumlah kecurian dalam penerbangan baru-baru ini, tetapi berkata kru kabin telah dinasihatkan untuk berjaga-jaga. - Straits Times 

No comments: