Pages

Sunday, April 8, 2012

Pamer otak Einstein

UNTUK kali pertama, otak Dr Albert Einstein akan dipamerkan kepada orang awam di United Kingdom bersama otak pembunuh terkenal.
Apabila Einstein mati ketika berusia 76 tahun pada 1955, otak pakar matematik itu dibelah kepada beberapa bahagian, dengan dua daripadanya menjadi bahan pameran di Muzium Wellcome Collection di London.

Pameran bertajuk The Mind As Matter turut mempamerkan otak pembunuh serta satu daripada pelopor sains komputer, Sir Charles Babbage.

Dua cebisan otak Einstein itu dipinjam daripada Muzium Mutter di Philadelphia, yang hanya mempamerkannya kepada umum untuk kali pertama di AS pada tahun lalu.

Apabila Einstein mati, mayatnya dibakar dan abu itu ditaburkan mengikut wasiatnya.

Namun, ahli patologi Thomas Harvey yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Einstein berkata, anak saintis itu memberi kebenaran supaya otak berkenaan disimpan bagi tujuan penyelidikan. Kenyataan itu bagaimanapun dipertikaikan.


Harvey menyimpan otak Einstein dan ia dipotong kepada 240 bahagian sebelum dimasukkan ke dalam balang berisi cecair pengawet di rumahnya.

Sebanyak 46 potongan pula diberi kepada rakannya yang juga ahli patologi bernama William Ehrich sebelum sampel berkenaan akhirnya disumbangkan kepada Muzium Mutter.

Turut mencuri perhatian dalam pameran di London itu adalah otak cendekiawan dan pembunuh, Edward H Rulloff, yang dianggap antara yang terbesar pernah ditemui. Otak Rullof juga dipamerkan untuk kali pertama di Britain.

Di sebalik imejnya sebagai orang pintar, Rulloff dipercayai membunuh isteri dan anaknya sebelum dihukum mati atas kesalahan membunuh seorang pembantu kedai di New York pada 1871.

Otak aktivis wanita AS, Helen H Gardener, menjadi satu lagi tarikan pada pameran berkenaan. Otak Helen didermakan bagi penyelidikan sains untuk menyangkal teori berhubung jantina.

Pengunjung Wellcome Collection juga berpeluang melihat daripada dekat satu otak manusia zaman Mesir purba yang dianggap antara sampel paling tua pernah ditemui; otak pakar sains komputer, Charles Babbage (1791 — 1871) dan cebisan otak mengandungi kesan kecederaan akibat peluru.

Penganjur juga menyediakan cebisan otak William Burke yang dihukum gantung sampai mati pada 1929 kerana membunuh beberapa orang.

Burke melakukan pembunuhan bagi membolehkan dia menjual mayat berkenaan untuk penyelidikan.

Melalui pameran berkenaan, penganjur memaparkan pelbagai maklumat mengenai otak, seperti saiz dan kaedah pengawetannya.

Kurator bersama pameran itu, Lucy Shanahan berkata, cebisan otak Einstein menimbulkan persoalan mengenai amalan pengumpulan otak, pendermaan dan isu keizinan melakukannya.

“Ia juga mencetuskan minat untuk mengetahui sama ada otak seorang genius berbeza dengan manusia biasa,” katanya.

Kurator jemputan, Marius Kwint berkata, otak membuktikan bagaimana satu organ tunggal dan rapuh boleh menjadi objek untuk masyarakat moden meletakkan harapan tinggi, rasa bimbang dan kepercayaan.

“Pelbagai kaedah kita melihat otak membuka banyak persoalan mengenai minda kolektif kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pro- gram Awam Wellcome Collection, Ken Arnold berkata, semua pihak mengakui kepentingan otak.

“Namun, bagi kebanyakan orang, otak kekal sebagai misteri yang mempesonakan,” katanya.

Pameran itu akan berlangsung sehingga 17 Jun depan di London.

No comments: