Pages

Tuesday, April 10, 2012

Hamas rancang culik askar Israel



GAZA CITY 9 April - Pergerakan Hamas menyeru semua kumpulan pejuang Palestin supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi merancang cara untuk menculik askar Israel yang kemudian boleh ditukarkan dengan rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh rejim Zionis.
Semua militia perlu menyertai jawatankuasa perjuangan puak- puak Palestin itu, kata seorang pemimpin kanan Hamas, Ahmed Bahar, hari ini.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media untuk melancarkan beberapa aktiviti sebagai tanda sokongan terhadap tahanan Palestin di penjara-penjara Israel.
Katanya, menculik askar Israel akan memaksa rejim Yahudi itu membebaskan tahanan Palestin.
Bahar juga menggesa pegawai keselamatan di Tebing Barat yang diperintah oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) supaya jangan lagi membebaskan askar dan orang awam Israel yang tersesat jalan dan memasuki kawasan Palestin.
PA di Tebing Barat selalunya menghantar mereka balik ke Israel.
Israel kini menahan lebih 4,200 tahanan Palestin di dalam penjaranya, kebanyakan mereka kerana 'kesalahan keselamatan' seperti menyerang Israel atau berkomplot untuk berbuat demikian.
Pada Oktober dan Disember lepas, Israel membebaskan sejumlah 1,027 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan seorang askarnya, Gilad Shalit yang diculik dalam satu serangan ke seberang sempadan oleh pejuang Palestin di Gaza pada Jun 2006. - dpa

No comments: