Pages

Thursday, April 26, 2012

1 bilion bakal mati kebuluran

Berita Harian Online | 1 bilion bakal mati kebuluran:





2012/04/26

CHICAGO: Lebih satu bilion penduduk dunia kebuluran jika India dan Pakistan saling melancarkan senjata nuklear kerana cuaca akan mengalami perubahan besar sekalipun perang atom yang meletus secara terhad, menurut kajian yang disiarkan kelmarin. 

Selain awan radiasi yang boleh mencemarkan tanah ladang jauh daripada pusat letupan, kajian mendapati jelaga yang dibebaskan ke atmosfera menyejukkan suhu global dan mengurangkan penurunan hujan di seluruh dunia. sekali gus memusnahkan tanaman.
Kajian itu mendedahkan data untuk menyokong amaran kesan buruk secara global dan tidak disengajakan penggunaan senjata nuklear, kata penulis kajian, Dr Ira Helfand, dari pertubuhan Doktor Antarabangsa bagi Menghalang Perang Nuklear.
“Bukan sekadar senjata Amerika Syarikat dan Russia mengancam dunia. Malah, senjata lebih kecil memberi ancaman kepada tamadun kita. Ia pasti menamatkan kehidupan moden,” kata Helfand. 

Kajian berkenaan dijangka disiarkan jurnal Climate Change, dibentangkan di Persidangan Pemenang Nobel Keamanan di Chicago. 

Ia menjangka pengeluaran jagung di Amerika akan menurun purata 10 peratus bagi satu dekad dan pengeluaran kacang soya juga menurun 10 peratus dengan pengurangan paling teruk berlaku lima tahun selepas perang nuklear. 

Ia menjadikan pengeluaran beras di China menurun purata 21 peratus empat tahun pertama dan 10 peratus bagi enam tahun berikutnya selepas perang nuklear berakhir. 
Pengeluaran tanaman negara lain juga menurun, kata Helfand. Kekurangan pengeluaran tanaman akan lebih buruk berbanding jangkaan kerana model konservatif tidak mengira peningkatan cahaya ultra ungu dan penyejukan global hingga membunuh tanaman. 

“Kesan terhadap pemakanan dan hidup manusia amat mendalam,” katanya. 

Peningkatan harga makanan dan kekurangan produk pertanian akan hampir pasti berlaku hingga mencetuskan panik dan tindakan menyembunyikan barangan pada skala antarabangsa manakala akses kepada makanan mengecil. 

Ketika 925 juta penduduk di seluruh dunia sudah pun berdepan masalah kekurangan zat makanan berdasarkan rekod terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kematian akibat kebuluran tidak dapat dielakkan. 

Keadaan itu memburukkan masalah sosial dan membawa kepada konflik bersenjata dalam dan di antara negara. Masalah kebuluran selalunya disebabkan wabak penyakit berjangkit seperti taun dan cirit-birit berdarah, yang akan meningkatkan kadar kematian. – AFP

No comments: