Pages

Saturday, March 10, 2012

Tiga sekeluarga maut kereta rempuh treler

GAMBAR kenangan Norazman dan isterinya, Norhayati, yang terbunuh dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur, semalam.
GAMBAR kenangan Norazman dan isterinya,
Norhayati, yang terbunuh dalam kemalangan
 di Lebuhraya Pantai Timur, semalam.
 

KUANTAN: Tiga sekeluarga maut selepas kereta yang mereka naiki merempuh bahagian belakang treler di Kilometer 210.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat Hentian Rehat dan Rawat Gambang, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Waja, Norazman Ibrahim, 43; isterinya, Norhayati Ibrahim, 42 dan anaknya, Arif Iskandar, 17, manakala seorang lagi anak mangsa, Nur Hudiyana, 12, masih dirawat di unit kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Norazman disahkan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala isteri dan anaknya meninggal dunia ketika dirawat di HTAA.
Kemalangan berlaku apabila keluarga terbabit yang menetap di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kemasik, Terengganu. 

Kereta dipandu Norazman yang juga eksekutif di kilang Perusahaan Edaran Otomobil Nasional Berhad (PROTON), Shah Alam, dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler yang sarat membawa muatan bijih besi dan sedang bergerak perlahan di lorong kiri. 

Pegawai Penguat Kuasa Pentadbiran Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, abang ipar mangsa, Radzi Abd Aziz, 51, berkata dia menerima panggilan daripada seorang rakan arwah kira-kira jam 2.30 pagi yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. 
“Rakan arwah memaklumkan dia berhenti melihat kemalangan di LPT dan ternampak nombor pendaftaran kereta mangsa lalu menghubungi saya untuk mengesahkannya. 

“Saya beritahu kepadanya, mangsa dalam perjalanan ke Kemasik untuk majlis perkahwinan anak sepupunya esok (hari ini),” katanya. 

Radzi berkata, dia belum memberitahu Nur Hudiyana mengenai kejadian itu kerana tidak mahu mengganggu emosinya.

No comments: