Pages

Thursday, March 1, 2012

Rentung berpelukan

myMetro | Rentung berpelukan: RENTUNG...dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.
RENTUNG...dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.

KOTA BHARU: Memilukan apabila seorang guru lelaki dan anak perempuannya berusia empat tahun mati rentung dalam keadaan berpelukan selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum meletup dan terbakar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini, mayat Che Arminudin Abdullah, 42, dan anaknya, Marissa Alma, ditemui di bahagian tengah antara tempat duduk hadapan dan belakang Toyota Rush dinaiki mereka.


Che Arminudin berasal dari Kampung Seberang Kastam, Besut, Terengganu menetap di Kampung Seri Kulim, Melur, dekat sini dan bertugas di Sekolah Menengah Teknik Pengkalan Chepa.

Berdasarkan posisi mayat ketika ditemui, dua beranak itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan Che Arminudin menarik keluar anaknya, tetapi gagal apabila kenderaan dinaiki meletup dan terbakar.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila Toyota Rush yang dinaiki Che Arminudin bersama anaknya menghala ke Pasir Puteh terbabas dan melanggar tiang lampu.


Menurutnya, kenderaan itu kemudian masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Ford Ranger dipandu Azaizurien Ahmad, 33, dan seorang penumpang, Siti Nor Azreen Md Yani, 24, yang menghala ke Kota Bharu.

“Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan meletup dan terbakar. Pemandu dan penumpang Ford Ranger berjaya diselamatkan penduduk kampung.


“Mereka dilaporkan cedera parah dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan,” katanya.

Menurut Jalaluddin, jenazah Che Arminudin dan Marissa Alma turut dibawa ke HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka.


Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Razak Abdullah, 34, berkata, dia terdengar dentuman kuat ketika bekerja di Kilang Kitar Semula RD Papers di kawasan berhampiran tempat kejadian.


“Saya berlari keluar dan mendapati dua kenderaan berlanggar dan terus membantu menarik keluar dua mangsa yang berada di dalam Ford Ranger,” katanya.


Menurut warga Myanmar itu, dia cuba menyelamatkan mangsa di dalam Toyota Rush selepas melihat si bapa cuba menarik keluar anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang.


“Bagaimanapun, saya tidak sempat menyelamatkan mereka kerana kenderaan itu tiba-tiba meletup dan terbakar,” katanya.




'via Blog this'

No comments: