Pages

Tuesday, March 20, 2012

Pelajar sekolah diculik




Nor Mala Mohd. Lazin bersama suaminya, Mahadi Muda dan anaknya, Siti Nurul Aishah menunjukkan Siti Nur Fatihah (gambar kecil) yang didakwa diculik di Kuantan, semalam.


KUANTAN 19 Mac - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dilaporkan diculik ketika keluar bersama dua adiknya untuk membeli kad nilai tambah prabayar di sebuah kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya di Taman Tas di sini semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, itu keluar dari rumahnya pukul 12 tengah hari bersama dua adiknya iaitu Siti Nurul Aishah dan Mohd. Shahmi Aiman yang masing-masing berusia 11 tahun.
Ibunya, Nor Mala Mohd. Lazin, 34, berkata, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua anaknya itu pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis.
"Saya bertanya punca mereka menangis dan terperanjat apabila diberitahu kakak mereka (Siti Nur Fatihah) dilarikan orang," katanya di sini hari ini.
Dia dimaklumkan oleh Siti Nurul Aishah, mangsa dilarikan menggunakan sebuah kereta berwarna gelap oleh tiga individu termasuk seorang wanita tidak dikenali.
Tambahnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang bersama dua adiknya itu dalam perjalanan ke kedai.
"Tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan menarik Siti Nur Fatihah.
"Kedua-dua adiknya itu cuba membantu menarik kakak mereka namun gagal berbuat demikian," katanya.
Kata Nor Mala, ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan memberi izin ketiga-tiga anaknya pergi ke kedai itu.
"Fatihah anak yang baik, dia juga tidak akan ke mana-mana tanpa saya dan keluarga. Saya betul-betul risau," katanya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu kira-kira pukul 4 petang semalam.
"Siasatan dijalankan sama ada mangsa mengenali suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menculik daripada penjaga yang sah," katanya.

No comments: