Pages

Thursday, March 15, 2012

Kanak-kanak Palestin tahanan Israel alami trauma

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Kanak-kanak Palestin yang cedera menerima rawatan di sebuah hospital di utara Genting Gaza selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas wilayah itu, kelmarin. Beratus kanak-kanak Palestin bukan sahaja menjadi mangsa serangan Israel tetapi lebih 8,000 kanak-kanak Palestin lagi turut ditahan rejim Zionis itu sejak tahun 2000, kebanyakannya kerana melontar batu. - REUTERS


RAMALLAH 14 Mac - Sebuah pertubuhan kebajikan mendedahkan majoriti kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel setiap tahun mengalami mimpi buruk, terkencing malam dan kebimbangan selepas mereka dibebaskan.
Pertubuhan, Save the Children dalam laporan yang disiarkan kelmarin berkata, tentera Israel sejak tahun 2000 menahan lebih 8,000 kanak-kanak Palestin di Tebing Barat dan mendakwa kanak-kanak semuda 12 tahun di mahkamah tentera, kebanyakan mereka kerana disyaki melontar baru.
Sehingga 98 peratus daripada kanak-kanak yang ditahan itu mengadu dikasari secara fizikal atau lisan oleh askar Israel, pengalaman perit yang meninggalkan kesan berpanjangan terhadap jiwa hampir kesemua kanak-kanak terbabit, kata penasihat program Save the Children, Eyad al-Araj pada sidang media di sini.
"Lebih 90 peratus daripada kanak-kanak itu mengalami gangguan tekanan selepas trauma," kata beliau.
Laporan mengenai warga Palestin berumur bawah 18 tahun yang ditahan oleh Israel itu adalah berdasarkan tinjauan ke atas 292 kanak-kanak yang pernah ditahan dan kemudian dibebaskan oleh rejim Zionis itu.
Tahun lepas, 2,302 kanak-kanak ditahan, berbanding 3,470 pada 2010, dan buat masa ini terdapat 170 tahanan bawah umur di penjara Israel, menurut data yang dikutip oleh pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Defence for Children International (DCI).
"Penahanan membawa kesan sangat merosakkan terhadap kanak-kanak berkenaan, keluarga dan masyarakat mereka," menurut laporan itu.
Ketika bercakap pada sidang media sama, ketua program perlindungan kanak-kanak Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Saudamini Siegrist membidas amalan Israel menggunakan mahkamah tentera untuk membicarakan tahanan Palestin di bawah umur.
"Tidak berlaku di tempat lain kanak-kanak dibicarakan di mahkamah dan tribunal tentera, amalan yang sangat bercanggah dengan perlindungan hak-hak mereka," kata Siegrist.
Seorang remaja, Ahmad Dsouqi menceritakan bagaimana dia ditangkap di rumahnya di kem pelarian Jalazon dekat Ramallah dalam satu serbuan lewat malam pada tahun lepas, ketika dia berusia 16 tahun.
Katanya, dia dipukul semasa disoal siasat bagi tempoh yang lama, tidak dibenarkan keluar dari bilik tahanan dan akhirnya dipaksa mengaku membaling batu ke arah askar Israel. - REUTERS

'via Blog this'

No comments: