Pages

Wednesday, March 28, 2012

676 pesalah dihukum mati tahun lalu

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 27 Mac - Sebanyak 676 pesalah dihukum mati di 20 buah negara pada tahun lalu, menurut laporan Amnesty International, hari ini, dengan peningkatan ketara di negara Asia Barat terutama di Iraq, Iran dan Arab Saudi.
Bagaimanapun menurut laporan itu, jumlah sebenar lebih tinggi kerana China dipercayai melaksanakan hukuman mati ke atas lebih daripada 1,000 pesalah setiap tahun, tetapi negara itu enggan mendedahkan angkanya.
Walaupun angka keseluruhan pesalah yang dihukum mati meningkat berbanding 527 pesalah pada tahun sebelumnya, hanya 20 negara dilaporkan menggunakan hukuman mandatori itu pada tahun lalu berbanding 23 negara pada tahun sebelumnya.
Menurut ulasan tahunan kumpulan hak asasi manusia itu yang berpangkalan di sini, Iran melaksanakan hukuman mati ke atas sekurang-kurangnya 360 pesalah, tiga perempat daripada mereka disebabkan kesalahan dadah, meningkat berbanding 252 pada tahun sebelumnya.
Arab Saudi pula melaksanakan sebanyak 82 hukuman mati, berbanding 27 pada 2010.
Amnesty International berkata, ia turut mempunyai bukti kukuh laporan mengenai 274 hukuman mati yang tidak disahkan atau dijalankan secara rahsia di Iran dan sekurang-kurangnya terdapat tiga pesalah berumur bawah 18 tahun dihukum mati selepas mengaku kesalahan yang mereka lakukan.
Hukuman mati dilaksanakan dalam pelbagai cara seperti pancung, gantung, suntikan maut dan ditembak.
Selain China, angka hukuman mati kekal sebagai maklumat sulit di Belarus, Mongolia dan Vietnam, sementara hanya sedikit atau tiada data rasmi diperoleh dari negara seperti Mesir, Eritrea, Libya, Malaysia, Korea Utara dan Singapura.
Di sebalik peningkatan jumlah hukuman mati yang dikenakan pada tahun lalu, Setiausaha Agung Amnesty International, Salil Shetty masih optimis berhubung usaha menghapuskan hukuman tersebut.
Katanya, ia boleh dilihat berdasarkan pengurangan jumlah negara yang melaksanakannya pada tahun lalu, berbanding 31 buah negara lebih sedekad lalu. - AFP

'via Blog this'

No comments: