BANGKOK - Seorang pegawai kesihatan terbunuh manakala sembilan yang lain cedera dalam letupan bom di hadapan Pejabat Kesihatan Pattani hari ini.

Ketua polis Pattani Kol Pol Sompon Misuk berkata pegawai kesihatan itu mati di tempat kejadian apabila bom buatan sendiri seberat 20 kg yang di dalam sebuah kenderaan pikap diletupkan secara kawalan jauh pada pukul 8 pagi.

Dua lagi pegawai kesihatan cedera parah manakala tujuh orang awam termasuk seorang kanak-kanak cedera ringan.

"Kamera litar tertutup di kawasan itu dapat merakam imej dua suspek yang meletakkan pikap itu di situ. Polis kini mengesan suspek untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dua anggota tentera cedera apabila bom seberat lima kilogram meletup di Kampung Batu, Bachok, Narathiwat, pada pukul 7.50 pagi ini.