Lagi protes pekerja di Israel

TEL AVIV - Kesatuan pekerja terbesar Israel mengumumkan mogok besar-besaran, semalam, menyebabkan lapangan terbang, pelabuhan, bank dan pasaran saham ditutup selepas perbincangan dengan kerajaan gagal membuahkan hasil.

Mogok yang dijangka menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$500 juta (RM1.5 bilion) sehari itu menjejaskan perkhidmatan kereta api, bank pusat dan pejabat kerajaan rejim itu.

Namun, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Tel Aviv hanya ditutup dari jam 6 pagi hingga tengahari semalam mengikut arahan mahkamah.

Kesatuan pekerja Israel menuntut kerajaan mengambil lebih 250,000 pekerja kontrak bagi mengatasi masalah pengangguran di negara itu.