Pages

Friday, February 10, 2012

Bekalan makanan mula dihantar



BANJIR di perkampungan Ormenio di barat laut sempadan Bulgaria, selepas air Sungai Evros melimpahi tebing beku akibat cuaca sejuk melampau. Ramai penduduk kampung tersebut terpaksa dipindahkan, kelmarin. – AGENSI


SARAJEVO 9 Feb. – Bantuan makanan dan ubat-ubatan mula dihantar menggunakan helikopter ke kawasan perkampungan di sekitar Eropah semalam, yang dilanda cuaca sejuk melampau sejak 12 hari yang lalu serta menyebabkan lebih 400 orang maut.

Negara-negara di bahagian timur Eropah seperti Poland dan Ukraine mencatatkan lebih separuh daripada jumlah kematian itu dan berpuluh-puluh orang lagi meninggal dunia akibat kesejukan kerana menggunakan alat pemanas yang kurang bermutu.

Salji lebat mulai reda di Bosnia namun cuaca sejuk masih berterusan terutamanya di kawasan selatan dan tenggara dengan suhu menurun sehingga -20 darjah Celsius.

Beribu-ribu penduduk terjejas ekoran bekalan elektrik yang putus termasuk di bandar bersejarah Mostar yang menempatkan kira-kira 15,000 penduduk.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Bosnia, Uma Sinanovic berkata, kawasan sekitar Nevesinje dan Berkovici di selatan negara paling teruk terjejas.

“Bekalan elektrik dan talian telefon terputus sejak dua hari lalu di wilayah ini,” katanya.

Pihak berkuasa Bosnia menghantar helikopter awam dan tentera ke kawasan dusun berdekatan Mostar dan Kalivonic, dengan membawa bekalan keperluan seperti tepung, minyak serta membawa penduduk yang sakit ke hospital.

Sementara itu, pasukan pemecah ais bertungkus-lumus membersihkan bahagian Danube, satu daripada laluan utama air di Eropah, selepas laluan antara Croatia dan Bulgaria membeku.

Serbia turut melarang sebarang aktiviti perkapalan di sepanjang laluan air itu termasuk di Danube, Sava dan Sungai Tisa yang membeku.

Agensi berita Beta berkata, lebih 70,000 penduduk masih bergelap di Serbia dan beberapa bahagian di Balkan.

Ukraine paling terjejas teruk dengan beratus-ratus kenderaan terkandas di semenanjung Crimea dan sekurang-kurangnya 131 kematian dicatatkan setakat ini.

Di Rusia pula, pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya 110 orang terbunuh sepanjang tahun ini, dengan 44 daripadanya maut pada minggu pertama bulan ini. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: