NEW YORK  – Seorang warga Nigeria yang dikenali sebagai 'pengebom seluar dalam', yang cuba meletupkan pesawat dengan meletakkan bom yang dibungkus dalam seluar dalamnya ketika sambutan Hari Krismas 2009, dihukum penjara seumur hidup, semalam.
Umar Farouk Abdulmutallab, 25, dengan bangganya mengatakan dia bangga untuk membunuh atas nama ALLAH dan mempertahankan tindakannya dalam cubaan membunuh 289 penumpang pesawat penerbangan Northwest 253.
Dia sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Laporan AP menyebut, sewaktu sesi perbicaraan, dia berkata, apa yang dilakukan adalah demi membela umat Islam yang tertindas serta menuntut pembelaan di atas kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden dan Anwar al-Awlaqi sambil melaungkan “hidup dan menang dengan rahmat ALLAH.”
Ketika Hakim Nancy Edmunds menjatuhkan hukuman maksimum terhadap lapan pertuduhan yang membawa hukuman 40 tahun penjara dan tambahan 50 tahun dikenakan ke atas Umar Farouk, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi ataupun mengaku bersalah.
“Defendan menunjukkan dengan jelas bahawa dia mempunyai motivasi tinggi untuk melakukan satu lagi serangan.
“Mahkamah tidak boleh mengawal motivasi defendan, tetapi boleh mengawal kebarangkalian defendan dari mengulangi perbuatannya,” tambah Edmunds.