Pages

Saturday, January 21, 2012

Tubuh pasukan pakar kaji punca kematian dua bayi

HULU SELANGOR 20 Jan. - Kementerian Kesihatan telah menubuhkan pasukan pakar bagi mengkaji punca kematian dua bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang semalam.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan memastikan ia tidak berlaku disebabkan wabak.
"Kita akan lihat sama ada terdapat jangkitan bakteria atau disebabkan punca lain. Buat masa ini bedah siasat dan kajian sedang dijalankan yang mana akan didedahkan segera selepas mendapat laporannya.
"Saya minta orang ramai tidak panik dan membuat spekulasi mengenai kematian dua bayi dari tempat asuhan yang sama. Ibu bapa juga diminta membawa anak-anak berjumpa doktor sekiranya sakit," katanya ketika mengulas mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Loji Pendobian Bukit Beruntung oleh Faber Medi-Serve Sdn. Bhd. (FMS) yang merupakan syarikat subsidiari Faber Group Berhad di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi FMS, Datuk Zainal Abidin Alias dan Pengarah Urusan Faber Group Berhad, Adnan Mohammad.
Dalam perkembangan lain, Tiong Lai menyeru orang ramai supaya bersama-sama membasmi nyamuk Aedes bagi mengelakkan demam denggi yang dilihat semakin meningkat dari segi jumlah kes.
"Kes demam denggi telah meningkat dengan ketara iaitu minggu lalu sahaja sebanyak 481 kes demam denggi berlaku berbanding hanya lebih kurang 200 hingga 300 kes seminggu pada 2010.
"Orang ramai juga diminta berhati-hati dan memastikan tiada air bertakung di kawasan rumah untuk mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes apabila pulang ke kampung sempena musim perayaan nanti," katanya.

No comments: