Pages

Saturday, January 21, 2012

Melayu Proto nenek moyang populasi Manusia

Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 20 Jan - Kajian dalam bidang Arkeologi dan Genetik hari ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu-Proto yang mendiami Benua Sunda merupakan nenek moyang kepada populasi manusia hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Persidangan Asal Usul Melayu : Induknya Di Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang menjelaskan di dalam tayangan video bagaimana penduduk di Benua Sunda terselamat daripada letusan gunung berapi Toba, kira-kira 75,000 tahun lalu.
Menurut Zaharah, sekumpulan 10,000 yang terselamat daripada letusan terbabit berpindah dari Afrika ke Benua Sunda (Asia Tenggara)
"Mereka terselamat kerana berlindung di kawasan yang Benua Sunda yang tidak dicemari debu radioktif gunung berapi.
"Mereka merupakan asal-usul kepada perjalanan manusia moden hari ini," menurut video tersebut.
Kumpulan itu bagaimanapun, terpaksa berpindah daripada India, China, Jepun, dan Amerika Syarikat ekoran daripada pemanasan global pada 25,000 tahun lalu yang menyebabkan banjir besar yang merubah Benua Sunda menjadi kepulauan-kepualau, kecil.
Kenyataan tersebut menolak teori sebelum ini yang menyatakan Melayu berasal daripada Yunan atau "express train" yang menyatakan mereka berasal dari Taiwan yang melakukan penghijrahan.
Menyokong teori tersebut adalah Pakar Genetik daripada Oxford Genetic Anthropology, Stephen Oppenheimer yang menyatakan bukti genetik yang menunjukkan orang Melayu dan Orang Asli merupakan penduduk asal Asia Tenggara.
Ia sama ada daripada Kepulauan Indonesia mahupun Filipina, atau tanah besar Asia seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, dan wilayah IndoChina.
Menurut kajiannya, termasuk ujian DNA terhadap masyarakat Semang, Senoi, dan kumpulan  Orang Asli lain termasuk Melayu, ia menunjukkan 44 peratus mempunyai moyang yang hidup di kawasan ini sejak sebelum 25,000 tahun lagi.
Sementara 36 peratus lagi menunjukkan moyang mereka menetap di kawasan tersebut sejak 5,000 ke 25,000 tahun, manakala hanya sejumlah 6 peratus mempunyai susur galur Taiwan yang berpindah ke sini sejak  5,000 tahun lalu.
Tambahnya, terdapat juga bukti arkeologi yang menyaksikan industry peleburan besi antara 6,500 ke 8,000 tahun lalu yang disebarkan dari Indonesia ke seluruh dunia.
Kenyataan berkenaan turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Saintis Universiti Sains Malaysia, Zafarina Zainuddin.
Menurut Zafarina, kajiannya menunjukkan DNA yang diambil daripada kumpulan yang hidup di kawasan yang sama mempunyai keturunan Melayu asli sekurang-kurangnya untuk tiga generasi.
"Sekiranya dia seorang lelaki daripada Machang, Kelantan dia boleh mengesan keturunannya untuk tiga generasi, dan sekiranya dia berasa was-was, kita asingkan," katanya.
Tambahnya, dia berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengeluarkan geran sebanyak RM1.4 juta untuk tujuan kajian tersebut, yang membuktikan masyarakat Melayu merupakan kominiti tertua di rantau ini.
Menurutnya, pencarian "Melayu berasal daripada Tanah Melayu" akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan seterusnya orang Melayu akan berasa bangga menjadi Melayu.
Persidangan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

No comments: