Pages

Saturday, January 21, 2012

Thailand negara terbaru iktiraf Palestin


NEW YORK 20 Jan. - Thailand muncul sebagai negara terbaru mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas, dalam satu langkah yang disambut baik Palestin bagi mendapatkan sokongan antarabangsa.
"Thailand secara rasmi mengiktiraf Palestin dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada semua pemantau misi tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York," jelas seorang pegawai media misi Thailand, semalam.
Di Ramallah, Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki berkata, keputusan Thailand itu dibuat berdasarkan penetapan sempadan sebelum Perang Enam Hari 1967.
"Pengiktirafan Thailand ini merupakan yang pertama pada tahun ini dan ia adalah satu pencapaian baru untuk diplomasi Palestin," katanya kepada agensi berita WAFA.
Maliki berkata, sehingga kini sebanyak 131 buah negara telah mengiktiraf Palestin mengikut sempadan 1967.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan berterima kasih kepada Thailand dengan berkata, langkah itu boleh dipanjangkan lagi menerusi hubungan diplomatik dua hala antara kedua-dua negara.
Palestin berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mengiktirafnya sebagai sebuah negara bebas ketika rundingan damai dengan Israel berhubung isu penempatan haram Yahudi masih belum menunjukkan sebarang kemajuan.
Pada tahun lalu, Palestin turut diterima sebagai negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Palestin juga berhasrat menyertai PBB sebagai anggota penuh, tetapi Washington mengancam menggunakan kuasa veto dan menggesa satu rundingan diadakan berhubung perkara tersebut dengan menyatakan hanya penyelesaian politik dengan Israel akan mewujudkan sebuah negara baru Palestin. - AFP

No comments: