Pages

Sunday, January 22, 2012

Syria gesa wanita goda pemantau Liga Arab

Anwar Malek
Anwar Malek

Perisik Damsyik ikut pemerhati hingga ke bilik air 

DAMSYIK: Syria mengancam pemerhati Liga Arab dengan ugutan bunuh dan menggunakan wanita untuk menggoda mereka, dakwa seorang delegasi Algeria kepada akhbar Britain, The Telegraph.
Bekas pegawai tentera Algeria, Anwar Malek, memberitahu akhbar itu bahawa dia meninggalkan negara itu selepas kerap diganggu selepas menyaksikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak oleh pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Syria, Bashar Assad.
Beliau menyifatkan wilayah Homs, pusat penunjuk perasaan anti Bashar sebagai ‘zon bencana antarabangsa’. 

“Ugutan dari ancaman bunuh hingga kepada memalukan kami di khalayak. Kami ke sini untuk memantau usaha rundingan damai tetapi sebaliknya melihat orang ramai dibunuh, dipukul dan ditahan polis, tentera dan militia,” katanya. 

Malek meninggalkan Syria minggu lalu selepas keretanya diserang tembakan dan beliau berkata ia adalah dari penyokong Bashar. 

“Sebarang komen negatif diabaikan dan pihak berkuasa cuba memeras ugut kami bagi merahsiakan apa yang kami lihat. Telefon bimbit kami disekat dan kami tidak dibenar menggunakan emel atau laman rangkaian sosial seperti Facebook untuk menyiarkan maklumat,” katanya. 
Malek juga melaporkan bahawa kanak-kanak ditembak mati atau dibiarkan kelaparan manakala mereka yang terselamat didera setiap hari. 

Misi pemantau Liga Arab bertujuan melaporkan kekejaman pentadiran Bashar termasuk menindas penunjuk perasaan dalam tempoh 10 bulan Kebangkitan Arab, meragut lebih 5,000 nyawa dan ramai yang cedera. Delegasi pemantau itu turut dikritik kerana bertindak sebagai pelindung Bashar. 

Malek mengesahkan laporan sebelum ini bahawa pemerhati terbabit berada di bawah pemantauan berterusan pegawai perisikan Syria yang membawa mereka di seluruh negara. 

“Pengintip memerhatikan kami sepanjang masa, dengan kamera, teropong dan peralatan pemantauan rahsia,” katanya. 

“Saya diarahkan berada di hotel untuk tempoh yang lama dan kemudian gambar saya dirakamkan sepanjang masa termasuk semasa saya masuk keluar bilik air. 

“Ideanya ialah mendapatkan gambar bogel saya untuk digunakan bagi memalukan saya jika timbul masalah,” katanya.

Beliau berkata, beliau melihat mayat tiga tentera Syria yang ditembak di belakang kerana ingkar terhadap pemerintah. 

Jurucakap Liga Arab berkata sesetengah dakwaan Malek tidak berasas dan beliau tidak menghabiskan banyak masa menyertai lawatan pemerhati Liga Arab di negara itu. – Agensi 

No comments: