Pages

Tuesday, December 27, 2011

Mangsa banjir Filipina hanyut 100 kilometer

MANGSA banjir Filipina di Iligan terus dipindah ke kawasan selamat menggunakan rakit buluh, kelmarin.
MANGSA banjir Filipina di Iligan terus dipindah ke kawasan selamat menggunakan rakit buluh, kelmarin.
MANILA: Nelayan membantu tentera laut Filipina, polis dan bomba mencari mayat mangsa banjir kilat dan ribut, dengan ada yang dihanyutkan ke laut dalam dengan angka kematian mencapai 1,236, semalam.

Pada masa sama, lebih 60,000 mangsa daripada ratusan kampung yang musnah itu kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menyambut Hari Natal dalam keadaan menyedihkan serta berhimpit-himpit di tempat perlindungan sementara iaitu sekolah dan gimnasium.
Pasukan penyelamat menemui kira-kira 150 mayat yang hanyut ke laut sejauh 100 kilometer dari tempat yang paling teruk dilanda banjir di bandar Cagayan de Oro dan Iligan, kata ketua Pejabat Pertahanan Awam, Benito Ramos.
Beliau berkata, pihaknya mungkin terpaksa mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk kembali normal dan membina perumahan sementara bagi membolehkan sekolah yang kini menjadi tempat perlindungan sementara kembali berfungsi.

Jumlah kematian hingga semalam mencecah 1,236 orang dengan dua pertiga daripada mayat tidak dikenal pasti. Oleh kerana banyak mayat hanyut, Ramos berkata pihak berkuasa terpaksa meminta bantuan nelayan untuk mencari di laut.

“Kami berhenti mengira mangsa yang hilang. Mereka yang ditemui, kami tidak tahu siapa mereka. Kami mempunyai sistem di mana keluarga boleh mengecam mangsa berdasarkan cap jari dan rekod pergigian,” kata Ramos.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu melancarkan rayuan bantuan kilat sebanyak AS$28 juta (RM88.3 juta) untuk membantu 600,000 mangsa yang dianggarkan terbabit, lebih separuh jumlah penduduk Cagayan de Oro dan Iligan di wilayah selatan Mindanao.
Walaupun amaran sudah dikeluarkan pihak peramal cuaca, kebanyakan penduduk sedang tidur ketika ribut tropika mendarat di wilayah yang jarang berlaku ribut itu.

Jumlah curahan hujan dalam tempoh 12 jam itu menyamai lebih sebulan kadar hujan yang mengakibatkan banjir kilat serta meranapkan kampung.

Ramai yang mati adalah wanita dan kanak-kanak yang lemas ketika tidur. Selebihnya berjaya memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri daripada sungai dan banjir lumpur yang membawa sampah dan kayu dari pergunungan berdekatan. – AP
Berita Harian Online | Mangsa banjir Filipina hanyut 100 kilometer:

'via Blog this'

No comments: