Pages

Wednesday, December 7, 2011

Ikhwan Muslimin Mesir papar imej sederhana

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pengundi Mesir berjalan melepasi poster calon Parti FJP semasa menuju ke pusat pengundian di bandar Nasser City dekat Kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 6 Dis. - Dua blok berhaluan Islam yang bersaing dalam pilihan raya Parlimen Mesir cuba mengetengahkan perbezaan ketara antara mereka semasa pengundian peringkat kedua yang bermula semalam, dengan Ikhwan Muslimin yang berada di tangga teratas ingin memaparkan imej sederhana kepada rakyat Mesir yang dahagakan kestabilan.

Puak Salafi yang dilihat sebagai ultrakonservatif dan membuat kejutan dengan memenangi undi kedua terbanyak pada pilihan raya itu, ujian terbesar sentimen rakyat sejak protes jalanan yang menamatkan pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu, pula tidak mahu menjadi pengikut.

Bagaimanapun semasa pengundian peringkat kedua yang berakhir hari ini, puak Salafi dan Ikhwan Muslimin tidak optimis mengenai peluang membentuk sebuah perikatan Islam yang dominan jika mereka mengulangi kejayaan awal mereka pada pusingan pengundian seterusnya yang berakhir pada 11 Januari ini.

"Ada percubaan untuk bersatu tetapi golongan Salafi sangat sukar dibawa berunding," kata seorang petugas Ikhwan, Mohamed Hussein, 20, ketika mengedarkan risalah parti pertubuhan itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di hadapan sebuah pusat pengundian di bandar pelabuhan Iskandariah.

Katanya, kedua-dua kelompok boleh mempersetujui beberapa perkara tertentu tetapi mereka mempunyai wawasan dan strategi berbeza.

Ketua parti Salafi, Parti al-Nour, Emad Abdel Ghaffour menuduh Ikhwan cuba menggambarkan penyokong Salafi sebagai pencetus kekacauan tetapi beliau menjelaskan, 'kami sebenarnya benci menjadi pengikut'.

Al-Nour yang mahu menghalang pelancong memakai bikini di pantai dan mengharamkan arak, iaitu dua tindakan yang dianggap boleh menjejaskan industri pelancongan Mesir, meninggalkan perikatan dengan FJP sebelum pengundian, dengan menuduh FJP membolot terlalu banyak kerusi dalam senarai parti. - Reuters

No comments: