Pages

Thursday, December 1, 2011

Britain suruh petugas kedutaan pulang dari Iran

PENUNJUK perasaan menunjukkan 'wajah baru' bendera Britain di kedutaan negara itu di Tehran.
PENUNJUK perasaan menunjukkan 'wajah baru' bendera Britain di kedutaan negara itu di Tehran.
TEHRAN: Britain memanggil pulang semua kakitangan kedutaannya dari Iran kelmarin selepas penunjuk perasaan tempatan menyerbu misi diplomatiknya.

Pejabat Luar di London mengesahkan maklumat itu daripada diplomat Kesatuan Eropah di ibu negara Iran. Kumpulan pertama kakitangan kedutaan itu sudah berada di lapangan terbang Tehran dan bakal berlepas ke Dubai, kata diplomat Eropah.
Diplomat Britain menghabiskan masa semalaman memantau kawalan keselamatan di beberapa kedutaan Kesatuan Eropah, kebanyakannya berada di misi diplomatik Perancis.
Arahan itu dibuat selepas penunjuk perasaan yang berhimpun beramai-ramai di pekarangan dua diplomatik di Tehran, sesetengah laungkan ‘Matilah Britain’ sambil mengoyak bendera negara itu dan merosakkan pejabat kedutaan.

Penunjuk perasaan itu menunjukkan kemarahan terhadap keputusan Britain minggu lalu untuk memutuskan semua hubungan dengan sektor kewangan Iran sebagai sebahagian daripada sekatan baru diumumkan dengan kerjasama Amerika Syarikat dan Kanada.

Tunjuk perasaan itu menyusuli keputusan Parlimen Iran sehari sebelumnya meluluskan undang-undang untuk mengusir duta Britain sebagai tindakan balas terhadap sekatan terbaru London.

Penunjuk perasaan merosakkan pejabat kedutaan Britain dan mencuri dokumen ketika serangan itu, kemuncak penentangan mereka terhadap program nuklear Iran.
Polis mengambil masa beberapa jam membebaskan enam diplomat yang terperangkap dengan kehadiran ratusan penunjuk perasan dalam bangunan dan perkarangan diplomatik Britain di utara ibu negara, lapor agensi berita Fars.

Serangan terhadap kedutaan Britain mencetuskan kutukan antarabangsa termasuk kenyataan keras Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malah, Russia yang juga sekutu utama Iran mengutuk serangan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima.

Di Busan, Korea Selatan, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata beliau terkejut dan marah dengan serangan di kedutaan Britain itu di Tehran dan menggesa pihak berkuasa Iran menghalang kejadian berulang.

Ban bercakap dalam pertemuan dengan Menteri Pembangunan Antarabangsa Britain, Andrew Mit-chell.

“Ban terkejut dan berang mendengar kejadian di Tehran,” menurut kenyataan. – AFP/AP
Berita Harian Online | Britain suruh petugas kedutaan pulang dari Iran:

'via Blog this'

No comments: