Pages

Tuesday, November 1, 2011

Pelajar tulang ‘S’ perlu RM41,000

KEADAAN tulang belakang Siti Nur Natasya (kiri) dan Nur Ezani.
KEADAAN tulang belakang Siti Nur Natasya (kiri) dan Nur Ezani.
Nur Ezani, Siti Nur Natasya sukar tidur selesa akibat masalah dialami

KUALA LUMPUR: “Saya meminati mata pelajaran Sains dan suka menyelidik, suatu hari nanti saya ingin menjadi saintis,” kata Nur Ezani Amira Hamidan, 15, seorang daripada dua pesakit yang memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan kerana menghidap masalah tulang belakang bentuk ‘S’.
Nur Ezani Amira, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading yang baru saja menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu, memerlukan sumbangan sebanyak RM20,500 untuk menjalani pembedahan November ini.
Seorang lagi pesakit ialah Siti Nur Natasya Mohd Rais, 20, pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Taman Permas Jaya, Johor Bahru yang akan menjalani pembedahan pada Disember ini, memerlukan sumbangan dengan jumlah sama RM20,500.

Nur Ezani Amira yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor berkata dia berharap dapat cepat sembuh untuk meneruskan persekolahan seperti biasa selepas menjalani pembedahan itu.

“Saya memang memerlukan pembedahan secepat mungkin kerana tulang belakang sudah bengkok 80 peratus. Kesihatan saya semakin teruk dan tidak selesa untuk duduk.

“Tidur saya juga mudah terganggu disebabkan masalah tulang belakang yang saya alami,” katanya ketika ditemui di Balai Berita The New Straits Press (M) Berhad (NSTP), di sini, semalam.
Siti Nur Natasya yang berasal dari Masai, Johor pula berkata, tulang belakangnya kini membengkok 60 peratus dan kesihatannya semakin bertambah teruk kerana mudah berasa penat dan letih.

“Saya tidak boleh tidur terlentang atau mengiring. Kalau lakukan juga, ia boleh menyebabkan belakang badan semakin sakit.

“Oleh itu, saya hanya tidur meniarap yang secara tidak langsung mengganggu pernafasan saya,” katanya.

Siti Nur Natasya berkata, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun lalu kerana perlu menjalani pembedahan tulang belakangnya.

Bagaimanapun, katanya apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan apabila pembedahan itu terpaksa ditunda kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

Oleh itu, katanya untuk tahun ini dia akan menduduki peperiksaan STPM terlebih dahulu sebelum menjalani pembedahan.

“Saya harap mendapat sumbangan yang diperlukan untuk menjalani pembedahan tulang belakang saya,” katanya yang menderita sakit sejak berusia sembilan tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada dua pelajar terbabit boleh menghantar cek atau wang pos kepada The New Straits Times Press (M) Bhd, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama pesakit berkenaan di belakang cek itu.
Berita Harian Online | Pelajar tulang ‘S’ perlu RM41,000:

'via Blog this'

No comments: