Pages

Tuesday, November 1, 2011

2.8j penduduk AS masih bergelap


DUA lelaki berjalan di sebatang jalan semasa ribut salji di Putney, Vermont, Sabtu lalu. Pantai Timur AS dilanda musim sejuk yang dianggap jarang berlaku pada Oktober dan hujan batu yang membunuh tiga orang, menyebabkan lapangan terbang ditutup dan bekalan tenaga terputus. – AFP


NEW YORK 31 Okt. – Kira-kira 2.8 juta penduduk di timur laut Amerika Syarikat (AS) masih terputus bekalan elektrik semalam berikutan ribut salji yang jarang berlaku di kawasan tersebut dalam bulan ini melanda kawasan itu dan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang setakat ini.

Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara, ribut salji terburuk melanda Jaffrey, New Hampshire dengan salji setebal 80 sentimeter, manakala salji setebal 48 sentimeter melanda kawasan barat Laut New York iaitu West Milford, New Jersey.

Cuaca bersalji dan berangin itu bermula sejak Sabtu lalu dan dijangka bergerak ke Maine hari ini.

Angin kencang dan salji yang berat serta basah mengakibatkan pokok-pokok patah serta merosakkan kabel elektrik dari West Virginia hingga ke Maine.

Gabenor Connecticut, Dannel Malloy berkata, kawasan itu mengalami kes terputus bekalan elektrik terbanyak dalam sejarah.

Maine, Massachusetts dan New Jersey berkata, mereka tidak menjangka perkhidmatan tenaga elektrik akan kembali normal dalam tempoh beberapa hari lagi, sementera Connecticut menyatakan keadaan itu akan kekal selama lebih seminggu lagi.

Penutupan sekolah-sekolah awam di Connecticut dan New Jersey turut diumumkan sehingga keadaan kembali pulih.

Pengangkutan awam terutamanya kereta api turut mengalami gangguan akibat tiada bekalan elektrik. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: