Pages

Wednesday, November 30, 2011

Mesir 'lulus' ujian demokrasi



SEORANG wanita sambil mengendong anaknya membaca kertas undi di pusat pengundian di Kaherah, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 29 Nov. - Mesir hari ini menyifatkan pilihan raya pasca revolusi sebagai kejayaan untuk demokrasi ketika lebih ramai pengundi turun membuang undi, mengatasi jangkaan awal mengatakan ia akan diboikot.

"Kelahiran Mesir yang baru," isytihar akhbar Al-Akhbar hari ini iaitu pada hari kedua mengundi selepas ramai dilihat hadir membuang undi dalam keadaan aman, semalam.

"Rakyat telah melepasi ujian demokrasi," tulis akhbar bebas harian, al-Shorouk pada berita utamanya.

Pemimpin kerajaan tentera turut melahirkan kegembiraan mereka melihat kepada sambutan rakyat.

Rakyat Mesir di Kaherah dan bandar pelabuhan, Iskandariah beratur panjang semalam bagi membuang undi untuk Parlimen baru, permulaan kepada pelbagai peringkat pilihan raya yang juga merupakan yang pertama sejak kejatuhan rejim Hosni Mubarak Februari lalu.

Ketibaan pengundi hari ini di pusat-pusat pengundian dilihat agak ramai tetapi tidak seramai semalam.

Menurut Rafik, 30, yang ditemui di pusat mengundi yang terletak di Heliopolis, Kaherah, dia membuat keputusan untuk datang mengundi hari ini bagi mengelakkan kesesakan.

"Ia amat penting bagi saya untuk mengundi kerana saya merasakan pertama kali pendapat saya diterima," katanya.

Kumpulan Ikhwan Muslimin dijangka akan muncul sebagai kumpulan yang paling berkuasa tetapi tidak mendapat majoriti tertinggi apabila keputusan Dewan Rakyat yang baru diumumkan 13 Januari tahun depan.

Pilihan raya Parlimen itu dicemari dengan huru-hara minggu lalu apabila rakyat mengadakan protes meminta kerajaan tentera berundur di mana lebih 24 orang terbunuh di Dataran Tahrir. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: