Pages

Tuesday, October 25, 2011

Ali dijangka tidak layan PBB


DUBAI 24 Okt. - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh dijangka 'tidak akan melayan' resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa beliau untuk segera menandatangani persetujuan peletakan jawatan.

Namun menurut penganalisis, tindakan Saleh itu dikhuatiri akan membawa Yemen terjerumus ke dalam kancah perang saudara.

''Saya tidak fikir beliau (Saleh) akan menandatangani resolusi itu termasuk menyokong pelan damai Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

''Justeru, beliau mungkin memilih untuk mengubah polisi kerajaan,'' kata Ketua Pusat Pengajian Masa Depan Yemen, Fares Saqaf.

Jumaat lalu, Majlis Keselamatan PBB meluluskan satu resolusi menggesa Saleh untuk segera menandatangani persetujuan peletakan jawatan.

Resolusi yang disokong sebulat suara oleh 15 negara anggota majlis itu turut mengutuk serangan kerajaan terhadap penunjuk perasaan dan menyokong pelan damai GCC yang menuntut Saleh menamatkan pemerintahan beliau selama 33 tahun.

Bagaimanapun, Saleh menolak resolusi itu dan menyatakan persetujuan untuk berundur 30 hari selepas menandatangani perjanjian memperoleh imuniti dari sebarang pendakwaan.

Seorang penganalisis, Abdulwahab Badrakhan berkata, resolusi PBB dan apa jua tekanan masyarakat antarabangsa tidak akan mampu mengubah situasi di Yemen.

''Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi masih tidak mengenakan tekanan terhadap Saleh agar beliau meletak jawatan,'' ujarnya.

Katanya, kedua-dua negara berkenaan masih teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan demi perubahan di Yemen. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: