Pages

Sunday, September 11, 2011

Mesir berada dalam keadaan berjaga-jaga



KAHERAH - Mesir diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga semalam selepas kumpulan penunjuk perasaan menyerbu bangunan Kedutaan Israel di sini dan bertempur dengan polis.
Insiden tersebut yang berlaku kelmarin menyebabkan empat orang terbunuh manakala lebih 450 yang lain cedera.
Tunjuk perasaan itu berlaku kerana kemarahan rakyat Mesir berhubung layanan zalim Israel terhadap penduduk Palestin terutamanya penduduk Genting Gaza.
Ia turut menyebabkan Israel memanggil pulang dutanya dan beberapa kakitangan lain di Mesir.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan serangan terbabit sebagai 'insiden serius' manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Barak Obama meminta Mesir melindungi kedutaan asing yang ditempatkan di ibu kota negara berkenaan, di sini.
Seorang pegawai Israel berkata, Duta Yitzhak Levanon dan beberapa pegawai lain telah meninggalkan Mesir kecuali seorang diplomat kanan Yahudi.
"Kami meninggalkan timbalan duta untuk terus berhubung dengan pemerintah Mesir," kata pegawai berkenaan di Baitulmuqaddis semalam.
Menurutnya, seramai enam kakitangan Israel diselamatkan oleh pasukan komando Mesir dalam kejadian itu.
Serangan keatas Kedutaan Israel semalam adalah insiden terburuk sejak Tel Aviv mewujudkan misi diplomatik di Mesir. - AFP

No comments: