Pages

Tuesday, September 6, 2011

Kereta masuk longkang rupanya kenderaan curi

JEMPOL: Misteri sebuah kereta Toyota Vios yang dibiarkan tersadai selama beberapa hari selepas pemandunya terbabit kemalangan di Taman Melor, Rompin, di sini, terungkai apabila kenderaan berkenaan rupa-rupanya dicuri di ibu negara, minggu lalu.
Difahamkan, kereta putih dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu itu ditemui hasil keprihatinan penduduk setempat yang memaklumkan kepada polis berikutan mencurigai keadaan kenderaan terbabit, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tanah Panjis, Tea Kieu Chai, berkata sehari selepas kereta itu dilaporkan hilang, penduduk mendakwa terdengar dentuman kuat dan melihat Vios berkenaan terbabas ke dalam sebuah longkang.

“Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu (Rabu lalu), seorang lelaki yang memandu kereta berkenaan didakwa dilihat terkurung dan seolah-olah mabuk.

“Berikutan gagal membuka pintu kereta itu, penduduk membantu mengeluarkan lelaki terbabit,” katanya di sini, semalam.

Kata Tea, selepas lima hari, penduduk pelik apabila mendapati Vios itu masih tersadai di dalam longkang berkenaan.


“Melihat keadaan itu, saya menghubungi polis sebelum dimaklumkan ia kenderaan curi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dilaporkan hilang pada 30 Ogos di ibu negara sebelum pemiliknya tampil membuat laporan polis keesokan harinya,” katanya.

No comments: