Pages

Sunday, September 4, 2011

Kepimpinan baru Libya berpindah ke Tripoli

Mustafa Abdel Jalil 

TRIPOLI 3 Sept. - Kepimpinan baru Libya mengumumkan akan berpindah ke Tripoli pada minggu depan selepas kejayaan pemberontak menumpaskan rejim Muammar Gaddafi.
Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) turut berjanji akan memulihkan ketenteraman di negara ini dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 20 bulan.
"Kami akan berpindah ke Tripoli minggu depan kerana bandar itu adalah ibu negara kami," kata pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil (gambar) kepada orang kenamaan dan ketua-ketua kabilah di timur bandar Benghazi, semalam.
Tiga hari selepas menakluk Tripoli, NTC pada 26 Ogos lalu mengumumkan rancangan untuk memindahkan cawangan pentadbiran ke ibu negara Libya ini, tetapi memberitahu kesemua anggota majlis hanya akan berpindah selepas keselamatan benar-benar terjamin.
Kenyataan Mustafa itu dibuat selepas Gaddafi memberi amaran akan melancarkan serangan gerila dalam mesej yang disiarkan dari tempat yang tidak diketahui, semalam.
Di Tripoli, beribu-ribu orang, kebanyakan mereka wanita berkumpul di Dataran Syahid bagi menunjukkan sokongan kepada kepimpinan baru Libya, sambil mengibarkan bendera Amerika Syarikat dan Perancis serta mengecam Gaddafi.
Wakil NTC di Britain, Guma al-Gamaty berkata, satu badan kerja bagi menggubal Perlembagaan akan dipilih dalam tempoh lapan bulan dan satu kerajaan baru akan dipilih dalam tempoh 20 bulan.
"Untuk tempoh lapan bulan akan datang, NTC akan memimpin Libya dan ketika itu satu majlis terdiri daripada 200 orang akan dipilih secara langsung.
"Majlis itu akan bertanggungjawab merangka perlembagaan demokrasi," kata Guma kepada BBC semalam merujuk kepada pelan yang dibuat pada Mac lalu dan diperhalusi pada bulan lalu.
Selepas setahun majlis itu ditubuhkan, pilihan raya Parlimen dan Presiden akan diadakan. - AFP

No comments: