Pages

Monday, September 12, 2011

Guinea Bissau sedia terima Gaddafi





2011/09/12

Bekas pemimpin Libya jalin hubungan baik, bawa pelaburan ke negara berkenaan

BISSAU: Perdana Menteri Guinea Bissau, Carlos Gomes Junior berkata negaranya bersedia menerima dan memberi perlindungan kepada pemimpin Libya yang disingkirkan Muammar Gaddafi jika beliau mempunyai hasrat berbuat demikian. 

Jika Gaddafi meminta untuk datang ke Guinea Bissau kami akan menerima beliau dengan tangan terbuka dan kami akan memastikan keselamatan beliau, katanya yang dipetik stesen Radio Diffusion Portuguese.
Negara di Afrika Barat itu mempunyai hubungan baik dengan rejim Gaddafi yang membuat pelaburan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk hotel, pertanian dan penanaman jambu gajus, eksport utama negara itu.
Gaddafi melawat negara itu pada 2009 dan menyediakan sokongan kepada Presiden Malam Bacai Sanha dalam kempennya. Beliau juga menyumbang pakaian seragam kepada tentera Guinea Bissau dan membaik pulih beberapa kediaman tentera negara itu. 

Sementara itu pemerintah baru Libya bersedia semalam untuk melancarkan serangan terakhir di pekan yang masih dikuasai penyokong setia Muammar Gaddafi sehari selepas tempoh akhir supaya mereka menyerah diri secara aman. 

Pemimpin sementara, Mustafa Abdel Jalil melawat Tripoli kali pertama sejak pasukan itu merampas bandar itu bulan lalu, kenderaan perisai yang dilengkapi dengan senjata anti pesawat berkumpul di luar Bani Walid, kata wartawan AFP. 

Satu kumpulan pejuang Majlis Peralihan Nasional berkumpul di pangkalan tentera tujuh kilometer di luar Bani Walid yang menjadi pangkalan awal bagi pasukan NTC dalam bersiap sedia untuk menyerang pekan, satu daripada kubu pasukan Gaddafi. 
Seorang lagi wartawan berkata pejuang berkumpul sejak subuh di gurun di Hisha, kira-kira 90 kilometer dari Misrata, menunggu arahan untuk bergerak ke Bani Walid atau kampung halaman Gaddafi di Sirte. 

Pejuang dari pasukan Misrata dan dibantu 200 kereta termasuk trak pikap yang dilengkapi senjata ringan dan raifal Kalashnikov, roket Grad dan senapang anti pesawat, kata wartawan. 

Pejuang sukarela menghabiskan masa malam Sabtu menguji kelengkapan, membersihkan senjata dan membungkus beg semasa menunggu arahan untuk bergerak, kata wartawan AFP. 

Abdel Jalil tiba kelmarin dengan sambutan permaidani merah di kem tentera Tripoli Metiga di mana beliau diserbu ratusan penyokong dan terpaksa dihalang oleh rantaian manusia. AFP 

No comments: