Pages

Wednesday, August 24, 2011

Tentera Libya lancar Scud ke Misrata

RAIKAN KEJAYAAN...penduduk Libya berpesta berhampiran sebuah mahkamah di Benghazi apabila mendengar berita pemberontak memasuki Tripoli, semalam.
RAIKAN KEJAYAAN...penduduk Libya berpesta berhampiran sebuah mahkamah di Benghazi apabila mendengar berita pemberontak memasuki Tripoli, semalam.
BRUSSELS: Tentera yang masih setia kepada Muammar Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud ke arah Misrata ketika pertempuran sengit berlangsung di Tripoli kelmarin.
Pada awalnya, Nato berkata, tiga Scud dilancarkan tetapi pertubuhan itu mengesahkan hanya satu dilepaskan ke arah kubu kuat pemberontak itu.

Ketua jurucakap Nato, Oana Lungescu, berkata Scud itu dilancarkan dari kawasan Sirte.

“Peluru berpandu itu mendarat di laut atau pantai Misrata dan kami tidak mengetahui sebarang kerosakan atau kematian akibat Scud itu,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Amerika Syarikat dan Nato mendakwa, tentera Gaddafi menggunakan peluru berpandu Scud untuk kali pertama sejak Libya diserang pertubuhan itu pada 19 Mac lalu.

Oana berkata, penggunaan peluru berpandu Scud menjadi ancaman kepada orang awam.


“Ia senjata ganas dan tindakan tentera Libya itu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Libya dianggarkan memiliki 240 peluru berpandu dalam simpanan.

Menurut majalah mingguan ketenteraan, Jane’s Defence Weekly, Scud B yang dimiliki Libya mampu mencapai sasaran kira-kira 300 kilometer. Sementara itu, pertempuran terus berlangsung di Tripoli.

Kata Oana, pertempuran masih terjadi di ibu negara Libya itu dan keadaan masih tidak menentu.

“Tentera Gaddafi mengalami kekalahan teruk tetapi mereka masih dianggap mampu memberi ancaman ketika ini,” katanya. - AFP, bharian

No comments: