Pages

Tuesday, August 9, 2011

Suasana pilu


Shaari Balad (tengah) menangis sambil memeluk dua anaknya ketika menuntut mayat isterinya, Sara Gunung di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, Cameron Highlands, semalam. – utusan/Roy Azis Abd. Aziz

CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini apabila kaum keluarga hari ini tampil menuntut mayat tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil semalam.
Mereka yang kebanyakannya masih trauma dengan tragedi itu tidak mampu menahan kesedihan apabila diberi peluang membuat pengecaman mayat ahli keluarga masing-masing.
Proses pengecaman yang bermula pukul 9 pagi ini berakhir kira-kira pukul 2 petang.
Mayat pertama, Sara Gunung, 37, dibawa keluar dari rumah mayat pukul 2.35 petang manakala mayat terakhir, Mohd. Iqbal Jaafar, 15, dituntut ahli keluarga pada pukul 4 petang.
Semua mayat mangsa bukan Islam kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Lapan di sini manakala jenazah mangsa beragama Islam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Setia di sini.
Antara hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk SK Devamany.
Dalam kejadian pukul 5.45 petang semalam, tujuh termasuk empat wanita dan tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah.
Mangsa yang terbunuh ialah Normadiah Lasik, 69; Ali Hassan, 50; Jaafar Balad, 49; Mohd. Iqbal, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51, dan Yusmizan Yusof, 22.
Dua lagi yang cedera parah adalah Bah Anjang Besar Alang, 39, dan Serry Priska Saari, 15.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahri Wan Busu berkata, mangsa pertama Normadiah ditemui pada pukul 6.30 petang; Ali (11.22 malam); Sara Gunung (12.29 pagi) dan Yusmizan (12.32 pagi).
Katanya, mayat Mohd. Iqbal dan Jaafar dijumpai pada pukul 1.16 pagi manakala Norma Gunung pukul 1.20 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat oleh 248 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi dihentikan pada pukul 1.50 pagi selepas kesemua mayat ditemui.
Sementara itu, Wan Zahri berkata, pemantauan masih dijalankan di lokasi kejadian bagi mengelak kawasan berkenaan dicerobohi.
“Polis akan terus melakukan kawalan di lokasi runtuhan berikutan struktur tanah yang masih lembut dan berisiko untuk runtuh.
“Buat masa ini, seramai 60 penduduk yang terselamat ditempatkan di Dewan Serbaguna Brinchang sebagai perlindungan sementara,” katanya.
Sebanyak 145 keluarga membabitkan kira-kira 1,300 penduduk tinggal di kawasan penempatan Orang Asli itu.
-utusan

No comments: