Pages

Friday, August 19, 2011

Pemberontak, askar Libya tempur di loji minyak


KAMI MENANG: Wanita-wanita ini meraikan kemenangan pemisah Libya dalam pertempuran baru-baru ini dan tentangan mereka terhadap rejim Gaddafi sejak enam bulan lalu di bandar Benghazi, Libya, lewat kelmarin. -- Foto AP

ZAWIYAH: Kumpulan pemisah di barat dan timur ibu kota Libya bertempur dengan tentera yang taat kepada pemimpin negara itu, Encik Muammar Gaddafi, untuk menguasai kemudahan minyak yang strategik.
Amerika Syarikat juga telah mengerahkan dua lagi pesawat Predatornya bagi operasi pemantauan terhadap Libya, kata seorang pegawai kepada agensi Reuters, lewat kelmarin, sedang tentera Encik Gaddafi menghadapi tekanan yang belum pernah dialaminya sebelum ini.Pesawat-pesawat itu tiba awal minggu ini, kata pegawai itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan.Tidak jelas dengan segera berapa banyak pesawat Amerika kini dikerahkan dalam misi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Libya itu.Di Zawiyah, kira-kira 50 kilometer ke barat Tripoli, para pemisah menyerang sebuah loji penapisan minyak cuba mengusir saki baki tentera Encik Gaddafi dan mengukuhkan penguasaan mereka di sekitar ibu kota Libya itu.Seorang jurucakap kumpulan pemisah berkata satu saluran paip ke Tripoli telah terputus. Sejauh ini, tidak ada berita mengenai hasil serangan yang mereka lakukan pada malam hari itu.Di Brega, di bahagian timur Libya, kumpulan para pembantah itu berkata mereka telah mengalami 18 kematian dan 33 lagi cedera dalam pertempuran yang berlaku pada Selasa lalu dan kelmarin, dalam usaha mereka untuk mengusir tentera Encik Gaddafi dari pelabuhan dan loji penapisan minyak itu.Sejumah 15 orang anggota pemisah terbunuh pada Selasa lalu dan tiga lagi kelmarin, kata jurucakap pemisah, Encik Mohammad Zawawi.Stesen televisyen Libya kelmarin menunjukkan rakaman video para penyokong Encik Gaddafi di sebuah terminal di Brega sambil melaungkan berulang kali nama pemimpin mereka itu.Selepas berkuasa selama 41 tahun, Encik Gaddafi, 69 tahun, kelihatan semakin terasing.Tentera pemisah kini semakin hampir ke barat, selatan dan timur, menguasai kawasan sekeliling kubu beliau di Tripoli, di kawasan pantai Laut Mediterannian.Namun, setakat ini, tiada sesiapa yang tahu di mana Encik Gaddafi berada. -- Reuters.

No comments: