Pages

Friday, August 19, 2011

Populasi dunia cecah 7 bilion

PARIS: Populasi dunia akan mencecah tujuh bilion hujung tahun ini dengan peningkatan penduduk di Afrika mengatasi kadar kematian di tempat lain.
Kajian terbaru yang dilakukan Institut Kebangsaan Bagi Kajian Demografi (INED) Perancis juga meramalkan peningkatan berterusan keseluruhan populasi sehingga jumlah itu stabil antara sembilan hingga 10 bilion menjelang akhir abad ini.

Daripada enam bilion penduduk, angka yang dianggarkan pada 1999, jurang antara kadar kelahiran dunia dengan kadar kematian meningkatkan jumlah populasi kepada tujuh bilion dalam masa 12 tahun saja.

INED menjangka jumlah penduduk akan bertambah kepada lapan bilion dalam masa 14 tahun lagi sebelum jumlah itu stabil, menurut kajian yang turut menggabungkan penyelidikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan beberapa institusi lain.

Dari sudut sejarah, peningkatan populasi global meningkat sejak abad ke-19.

Menurut INED, kini hanya populasi di tujuh negara membentuk separuh daripada jumlah penduduk dunia menyebabkan peralihan demografi mereka akan memberi kesan yang besar. China berada di tempat teratas dengan 1.33 bilion penduduk sementara India di tempat kedua dengan 1.17 bilion.

Lima negara lain, mengikut turutan, ialah Amerika Syarikat, Indonesia, Brazil, Pakistan dan Nigeria. INED juga meramalkan India akan menjadi negara paling ramai penduduk antara sekarang hingga 2050. - AFP, hmetro

No comments: