Pages

Sunday, August 7, 2011

Lima lemas terjun sungai



ORANG ramai melihat mayat seorang lelaki yang lemas selepas terjun ke dalam Sungai Muda di Kuala Lengkuas, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 6 Ogos - Lima lelaki yang sedang leka berjudi ditemui mati lemas hari ini selepas terjun ke dalam Sungai Muda di Kuala Lengkuas, Bukit Selambau dekat sini ketika cuba mengelak daripada ditahan polis dalam satu serbuan petang semalam.
Kesemua mereka merupakan warga tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun ditemui terapung di sungai berkenaan selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan pihak berkuasa.
Mayat pertama ditemui pukul 2 petang, diikuti mayat kedua pukul 5.30 petang tidak jauh dari lokasi mereka dikatakan terjun.
Mayat ketiga pula ditemui pukul 7.30 petang manakala dua mayat terakhir ditemui serentak pukul 7.45 petang ini.
Seorang penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Lai berkata, lebih 30 lelaki dikatakan bermain judi di kawasan semak hujung kampung itu kira-kira pukul 6 petang semalam.
"Selepas menyedari polis mengadakan serbuan, kesemua mereka melarikan diri dan ada yang bertindak terjun ke dalam sungai untuk mengelak daripada ditangkap," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.
Mingguan Malaysia difahamkan, tujuh daripada mereka terjun ke dalam sungai itu ketika serbuan. Dua lagi dipercayai dapat menyelamatkan diri.
Lai berkata, kumpulan itu dikesan bermain judi di kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya menahan 12 lelaki yang terlibat dalam perjudian yang dinamakan 'judi belangkas' itu.
"Mayat kesemua lima lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat," katanya.utusan

No comments: