Pages

Thursday, August 4, 2011

'Buka puasa atas tapak hangus'

SEBAHAGIAN daripada 12 sekeluarga berbuka puasa di depan rumah mereka yang hangus terbakar pada hari pertama puasa di Kampung Chicha, Kubang Kerian, semalam.
SEBAHAGIAN daripada 12 sekeluarga berbuka puasa di depan rumah mereka yang hangus terbakar pada hari pertama puasa di Kampung Chicha, Kubang Kerian, semalam.

12 sekeluarga terpaksa harap ihsan saudara, jiran selepas rumah terbakar

KOTA BHARU: Walaupun rumah hangus terbakar pada hari pertama berpuasa, ia tidak menghalang 12 sekeluarga yang mendiami rumah itu untuk berbuka puasa bersama di tapak kediaman hampir musnah di Kampung Chicha, di sini, malam kelmarin.
Mereka nekad berbuat demikian selepas hasrat berbuka puasa bersama Isnin lalu, musnah selepas rumah terbakar beberapa jam sebelum umat Islam berbuka puasa.
Dengan membentangkan tikar di depan tapak kediaman yang musnah itu, sepuluh daripada mereka menikmati juadah berbuka puasa dalam keadaan sayu. Tiga daripada mereka tidur dalam khemah berdekatan tapak rumah berkenaan.

Siti Samsuriwati Mohamed, 26, berkata, musibah melanda keluarganya itu tidak mematahkan semangat mereka sekeluarga untuk bersama mengharungi dugaan itu.

“Walaupun dilanda musibah, adik saya tetap ke sekolah, terutama Suhana, 15, yang sedang menghadapi peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Suhana terpaksa ke sekolah berpakaian biasa sehingga guru menasihatinya membeli seragam sekolah kerana sedang menghadapi peperiksaan,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.
Isnin lalu, rumah didiami 12 orang termasuk 10 adik-beradik di Kampung Chicha di sini, musnah dalam kebakaran ketika sedang menyiapkan juadah berbuka puasa.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku.

Siti Samsuriwati berkata, adiknya kini menumpang di rumah sepupu berdekatan, manakala tiga daripada mereka, termasuk abang ipar pula tidur dalam khemah berdekatan tapak rumah mereka.

“Abang ipar, Mohd Nazir Abdullah, 34, Mohd Fitri Irwan, 19, dan Mohd Amirul, 17, memilih tidur dalam khemah selepas dinasihatkan penduduk untuk tidak meninggalkan tempat kejadian.

“Seorang penduduk juga bersetuju membenarkan kami tinggal di rumah kosong miliknya buat sementara waktu tanpa mengenakan bayaran sehingga keluarga pulih daripada trauma itu,” katanya.

Katanya, sejak kebakaran petang Isnin lalu, pelbagai bantuan diterima daripada pelbagai pihak, termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani.

“Muhammad juga bersetuju menyediakan 60 bungkus nasi atas permintaan kami kerana ingin mengadakan tahlil di perkarangan rumah yang terbakar bersama saudara-mara terdekat,” katanya. bharian

No comments: