Pages

Monday, July 4, 2011

Presiden Syria pecat gabenor Hama lepas ratusan ribu rakyat memberontak

DAMSYIK: Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, telah memecat gabenor Hama kelmarin. Tindakan itu diambil sehari selepas ratusan ribu rakyat Syria berhimpun di bandar yang menjadi lubuk pemberontakan itu. Dalam pada itu, para aktivis berkata tindakan keras terbaru pihak berkuasa Syria itu menyebabkan 28 orang maut.

Pemberontakan antirejim Syria itu berlaku Jumaat lalu berikutan gesaan daripada sebuah kumpulan di laman rangkaian sosial Facebook agar memprotes secara besar-besaran bagi menggulingkan Encik Assad dan rejim kuku besinya.

Di bandar Hama sahaja kira-kira 500,000 orang berarak di jalan raya tanpa pasukan keselamatan yang menghalang mereka, kata para aktivis. Mereka menyifatkannya sebagai satu tunjuk perasaan tunggal paling besar pernah diadakan sejak satu gerakan prodemokrasi tercetus pada 15 Mac lalu.

Encik Assad bertindak balas dengan memecat gabenor Hama, sebuah bandar yang mempunyai sejarah pertumpahan darah pada 1982 dengan 20,000 terbunuh apabila tentera Syria bertempur dengan pemberontak kumpulan Islam. Waktu itu Syria diperintah Allahyarham Hafez Al-Assad, ayah Encik Assad.

'Presiden Syria itu menandatangani satu dekri hari ini (kelmarin) memecat Doktor Ahmad Khaled Abdel Aziz daripada jawatannya sebagai gabenor Hama,' kata satu laporan berita ringkas yang disiarkan sebuah stesen televsiyen Syria.

Kebanyakan mangsa tunjuk perasaan di wilayah Idlib terbunuh pada Jumaat lalu apabila tentera Syria yang berkereta kebal menghancurkan kampung-kampung mereka sepanjang minggu lalu untuk menghalang pemberontakan.

'Seramai 16 orang terbunuh' di Idlib pada Jumaat lalu, kata Encik Ammar Qorabi, ketua Pertubuhan Kebangsaan bagi Hak Asasi, kelmarin.

Sekurang-kurangnya 20 orang pula ditangkap di kawasan Daraya dekat Damsyik kerana terbabit dalam bantahan antirejim Syria. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: