Pages

Thursday, July 14, 2011

Pelajar dirantai larikan diri


MOHD HUSSIN  menunjukkan cara beliau membuka rantai di kaki anaknya  di Kampung Sungai Hilir, semalam.
MOHD HUSSIN menunjukkan cara beliau membuka rantai di kaki anaknya di Kampung Sungai Hilir, semalam.


Mangsa dihukum akibat merokok berjalan 2 jam dengan kaki berlilit besi
BACHOK: Seorang pelajar berusia 13 tahun di sebuah sekolah agama di sini, dirantai kedua-dua kakinya selama sejam serta dipukul gurunya selepas melakukan kesalahan menghisap rokok.
Disebabkan tidak tahan didera sebegitu, pelajar terbabit, Mohd Ihsaan Mohd Hussin melarikan diri dari asrama Tahfizul Quran Al Ikhlas, jam 4.30 petang 6 Julai lalu, dengan berjalan kaki dua jam sejauh kira-kira empat kilometer (km) ke rumahnya di Kampung Sungai Hilir, Perupok.
Lebih mengejutkan, pengetua atau mudir Tahfizul Quran Al Ikhlas, Miswan Mat Isa mengakui hukuman merantai kaki memang dikenakan terhadap pelajar berkenaan atas kesalahan menghisap rokok.

“Kami menjalankan hukuman merantai kaki itu sebagai simbolik dan pelajar masih boleh bergerak bebas ke mana saja. Bagaimanapun, saya mengakui hukuman itu tidak elok dan kami akan melakukan perubahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Miswan juga mengakui maahad tahfiz terbabit belum didaftarkan walaupun sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, menceritakan kejadian menimpanya, Mohd Ihsaan berkata, seorang guru lelaki berusia 30-an mengesyaki dia keluar sekolah itu untuk menghisap rokok, lantas mengambil keputusan merotan dan merantai kedua-dua kakinya sebagai hukuman.
Bagaimanapun, katanya, ketika berehat di asramanya dengan kaki dirantai, guru terbabit tiba-tiba menendang dada, sambil memukul dengan rotan berkali-kali.

“Ketika itu saya terpaksa menahan dengan kedua-dua tangan tetapi pukulan itu tetap mengenai badan dan kepala.

“Guru itu turut memberi amaran kepada pelajar lain supaya jangan membuat kesalahan seperti saya jika tidak mahu dirantai kaki,” katanya, semalam.

Mohd Ihsaan berkata, selepas tidak tahan dengan deraan dialami, dia meminta bantuan seorang rakan membuka mangga di kakinya dan melarikan diri dengan membawa sebuah beg pakaian.

“Saya mengambil keputusan melarikan diri dengan berjalan kaki ke rumah melalui jalan pintas sambil membimbit rantai yang masih berbelit di kaki.

“Sebaik tiba di rumah jam 6.30 petang, ibu bapa terkejut melihat keadaan saya sebelum membawa saya ke Klinik Kesihatan Bachok untuk mendapatkan rawatan. Bapa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Bachok,” katanya.

Bapa mangsa, Mohd Hussin Mamat, 51, ketika ditemui, menafikan sekolah ada memaklumkan terdapat hukuman merantai kaki dikenakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin.

“Jika dia dirotan atau diberi hukuman lain, saya tidak kisah tetapi bukan dirantai seperti haiwan,” katanya. Berita Harian Online | Pelajar dirantai larikan diri

No comments: