Pages

Wednesday, June 8, 2011

Wanita ‘naik hantu’ ketika gudang diserbu

RANTAU PANJANG: Kegiatan pasangan suami isteri yang menjadikan sebuah gudang sebagai tempat penyimpanan barang kawalan, termasuk gula sebelum menyeludup ke negara jiran melalui pangkalan haram terbongkar dalam serbuan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ketika serbuan itu di kawasan berhampiran Taman Bakti, Gual Nering, di sini, seorang wanita berusia 50-an yang juga pemilik gudang terbabit bertindak memaki hamun dan mengugut pegawai penguat kuasa KPDNKK.
Bagaimanapun, wanita terbabit yang ditemani suaminya bertindak menghilangkan diri sebaik mengetahui KPDNKK meminta bantuan polis bagi memujuknya yang dikatakan `naik hantu' selepas mendapat tahu barangan di gudangnya akan disita.
Pengarah KPDNKK Kelantan, Fauzi Haron, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 4 petang selepas intipan dan maklumat diterima mendapati gudang berkenaan dijadikan transit bagi penghantaran barangan kawalan ke negara jiran.

"Daripada maklumat diterima, barangan kawalan disimpan di stor terbabit pada waktu siang dan menjelang tengah malam beberapa kenderaan datang mengambil bekalan untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram.

"Antara barangan diseludup adalah gula, tepung gandum serta minyak masak iaitu barangan yang boleh dijual dengan harga tinggi di Thailand," katanya.

Beliau berkata, hasil daripada operasi dilakukan, pihaknya berjaya merampas dan menyita 5,040 kilogram (kg) tepung gandum, 4,850 kg minyak masak dan 2,400 kg gula.
Fauzi berkata, serbuan ke atas gudang berkenaan dilakukan oleh pasukannya yang membuat operasi bersama pegawai penguat kuasa KPDNKK Terengganu dan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, A'ala Shah Md Yusop.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Bekalan 1974.
Berita Harian Online | Wanita ‘naik hantu’ ketika gudang diserbu

No comments: