Pages

Wednesday, June 8, 2011

Lelaki maki, baling polis dengan sos cili kena dakwa


Che Muhammad Aiman

Che Muhammad Aiman

KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memaki dan membaling plastik berisi sos cili terhadap polis serta memiliki mercun ketika perlawanan Liga Super, Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam kelmarin.

Kes pertama membabitkan penganggur, Tuan Mohd Hasbullah Tuan Abd Razif, 24, yang didakwa mengeluarkan perkataan ‘baliklah polis berambus, polis bodoh’ terhadap anggota polis yang bertugas di luar stadium itu jam 11.30 malam, selepas tamat perlawanan.
Tuan Mohd Hasbullah yang berasal dari Kampung Chepoh di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dikenakan hukuman denda RM80 oleh Majistret Noor Adila Abd Latif.
Dalam kes kedua, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Che Muhammad Aiman Che Azmi , 19, dari Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir di sini, dipenjara sehari dan denda RM1,000 selepas mengaku salah memiliki mercun tanpa lesen. Jika gagal membayar denda itu, tertuduh akan dipenjara tiga minggu lagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika pemeriksaan di pintu masuk F Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah jam 7.30 malam kelmarin, tertuduh didapati memiliki beg sandang berisi tiga mercun bola.

Dalam kes ketiga, remaja berusia 17 tahun dari Kampung Binjai Bongkok, Marang didakwa membaling plastik berisi sos cili kepada polis yang bertugas jam 10.10 malam kelmarin di stadium berkenaan selepas tamat perlawanan bola sepak itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda tidak lebih RM1,000. Berita Harian Online | Lelaki maki, baling polis dengan sos cili kena dakwa

No comments: