Pages

Thursday, June 30, 2011

PETRONAS bayar kerajaan RM594.6b

DATUK Seri Najib Razak berkata PETRONAS membayar RM594.6 bilion kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam bentuk dividen, cukai, duti eksport dan perolehan petroleum sejak penubuhannya hingga Mac lalu.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, RM65.7 bilion adalah pembayaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.
“Jumlah sumbangan PETRONAS kepada Kumpulan Wang Amanah Nasional (KWAN) adalah sebanyak RM3 bilion.
“Dana ini aktif dan dilaburkan dalam pelbagai instrumen kewangan, manakala saiz dana kini berjumlah RM5.43 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah yang mahu mengetahui jumlah sumbangan PETRONAS kepada tabung KWAN, status penggunaan dan baki terkini berkenaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, KWAN ditubuhkan untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber asli negara yang merosot supaya dapat memberi sumber pendapatan berterusan dan stabil demi faedah generasi akan datang.

“Pengurusan dan pentadbiran hal ehwal KWAN ini dipertanggungjawabkan ke atas Bank Negara Malaysia (BNM) yang memastikan dana KWAN dilaburkan dengan wajar, manakala operasi kumpulan wang diselia panel KWAN,” katanya.
Menjawab soalan lain mengenai kesediaan kerajaan menetap 30 peratus keuntungan tahunan PETRONAS dimasukkan ke dalam tabung pendidikan kebangsaan untuk pemberian biasiswa, Najib berkata, kerajaan sudah menyediakan dana bagi tujuan pendidikan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pemberian biasiswa atau pinjaman tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Oleh itu, kerajaan tidak bercadang menubuhkan tabung pendidikan baru seperti tabung pendidikan kebangsaan,” katanya.
Berita Harian Online | PETRONAS bayar kerajaan RM594.6b

No comments: