Pages

Thursday, June 30, 2011

Pejabat Bersih diserbu, ratusan baju T dirampas



Pejabat Bersih diserbu, ratusan baju T dirampas


PASUKAN polis membawa keluar dokumen dipercayai berkaitan Bersih di Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 29 Jun - Pejabat komuniti pertubuhan haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Seksyen 4 di sini, yang berselindung di sebalik pejabat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Dalam serbuan pukul 12 tengah hari dan berakhir pada pukul 3 petang itu, sebanyak tujuh beg plastik hitam berisi baju T yang mempunyai logo Bersih dilihat dibawa keluar daripada rumah berkenaan.
Selain itu, enam kotak berisi dokumen, empat helai kain rentang dan beberapa poster, kesemuanya berkaitan perhimpunan haram Bersih turut dirampas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat awam berhubung aktiviti sebuah pertubuhan haram di premis itu.
"Hasil serbuan, polis menemui ratusan baju T berwarna kuning tertulis Bersih 2 selain poster dan kain rentang. Berikutan itu, kita menahan lima wanita dan dua lelaki, dipercayai pekerja kepada pertubuhan haram tersebut.
"Polis turut merampas logo Bersih dan dokumen lain dikaitkan dengan pertubuhan yang turut merancang mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, ketujuh-tujuh individu yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan kes diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tindakan lanjut.
Di IPOH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Leong Mee Meng dan ADUN Teja, Chang Lih Kang antara 14 individu yang ditahan ketika mengagihkan baju T bertulis 'Bersih' di pasar tani pekan Sungai Siput hari ini.
Mereka ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pasukan itu merampas tiga baju T tertera tulisan Bersih 2 di depan dan sehelai kain rentang tertera tulisan 'Sokong Bersih'.
"Pada baju itu tertera tulisan Menuju Ke Istana Negara pada 9 Julai, Bersihkan Pilihan Raya Kembalikan Hak Rakyat dan 300,00 bergerak Menuntut Demokrasi Yang Adil pada belakang baju," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, semasa tangkapan dibuat tiada berlaku sebarang kekerasan.
Katanya, kesemua mereka ditahan di Balai Polis Sungai Siput untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27(5) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments: