Pages

Tuesday, June 21, 2011

Maahad nafi rekrut pelajar guna ideologi JI

KUALA PILAH: Ahli Jawatankuasa Madrasah Ittiba Us Sunnah di Kampung Parit di sini, menafikan mereka merekrut pelajar dengan ideologi Jemaah Islamiah (JI) untuk menentang kerajaan, seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam.

Setiausaha madrasah berkenaan, Hazman Hashim, berkata laporan akhbar itu yang turut memaparkan gambar bangunan madrasah berusia 54 tahun itu bersifat fitnah dan langsung tidak menggambarkan keadaan sebenarnya.

“Kami hanya memberi kelas bimbingan terjemahan al-Quran kepada warga tua beberapa hari seminggu bergantung kepada keadaan, malah tiada pelajar lelaki berusia 18 tahun seperti didakwa dalam laporan akhbar itu menyertai kelas yang diadakan selepas solat Maghrib,” katanya pada sidang media di madrasah itu di sini, semalam.
Akhbar bukan terbitan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) itu, semalam antara lain melaporkan, sebuah maahad bertanggungjawab merekrut pelajar Tingkatan Empat dan Lima sekolah agama di negeri ini berasaskan ideologi pemimpin militan JI.

Mereka turut dihasut membenci dan menumbangkan kerajaan dengan alasan jihad menegakkan agama Islam, selain pelajar direkrut itu dipercayai dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina.

Mengulas lanjut, Hazman berkata, walaupun maahad itu tidak bertauliah, mereka tidak menganjurkan aktiviti bersifat ekstrem kerana sentiasa menyokong perjuangan kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, pada zaman 1970-an dan 1980-an, maahad itu menerima ramai pelajar universiti yang mahu mendalami ilmu terjemahan al-Quran secara harfiah, tetapi tidak pernah dihasut memusuhi kerajaan.
“Bagaimanapun, kita mengaku madrasah pernah menerima kedatangan pemimpin JI, Abu Bakar Bashir, pada awal 1990-an tetapi memutuskan hubungan apabila diminta menerima perjuangan pertubuhan itu,” katanya.
Berita Harian Online | Maahad nafi rekrut pelajar guna ideologi JI

No comments: