Pages

Thursday, June 23, 2011

Laporan polis meningkat 838 kes


KUALA LUMPUR 22 Jun – Polis telah menerima sejumlah 838 laporan daripada pelbagai pihak yang membantah rancangan mengadakan perhimpunan haram oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 53 laporan polis diterima oleh Polis Selangor yang dibuat oleh orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemandu teksi yang menyuarakan ketidakpuasan hati perhimpunan haram itu dianjurkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, semua laporan itu diterima pihaknya sejak awal bulan ini.

“Saya nasihatkan penduduk Selangor atau mereka yang hendak melalui negeri ini supaya jangan pergi ke Kuala Lumpur pada hari berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor, hari ini.

Di Hulu Langat, Persatuan Gabungan Komuniti Melayu Semenyih turut membuat laporan polis di IPD Kajang menerusi wakilnya, Datuk Azami Mohamed.

Di Perak, perhimpunan haram Bersih terus mendapat bantahan daripada orang ramai termasuk kalangan bekas pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri tersebut.

Sekumpulan bekas pemimpin dan ahli PKR diketuai bekas Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Faizal Effendi Hashim membuat laporan di IPD Ipoh bagi membantah penganjuran perhimpunan itu.

Turut serta, bekas Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Suraya Sulaiman dan bekas Exco Pemuda PKR Parit, Fairul Azrim Ismail dan bekas-bekas pemimpin PKR dari Cabang Padang Rengas, Tanjung Malim dan Kampar.

Selain mereka, tiga NGO iaitu Pertubuhan Masyarakat Prihatin Perak, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perak (Peka) dan Persatuan India Muslim Perak turut membuat laporan polis.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments: